Sindiket rokok seludup, ubat batuk lebih RM100,000 tumpas

Iklan
Surina (kanan) menunjukkan barang yang dirampas polis.

KANGAR - Polis Perlis berjaya menumpaskan sindiket rokok seludup dan ubat batuk di negeri itu bernilai RM166,230 dalam dua serbuan berasingan di Bukit Keteri, Padang Besar dan Jejawi pada 12 November lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, serbuan pertama jam 8.45 malam dilakukan di sebuah rumah kosong di Bukit Keteri yang dijadikan sebagai lokasi simpanan 226 karton rokok seludup pelbagai jenis.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan.

"Lokasi terbabit dipercayai dijaga wanita berkenaan yang berusia 28 tahun dan dijadikan pusat pengedaran utama rokok seludup kepada peniaga kedai runcit di sekitar negeri itu.

Iklan

"Selain rokok turut ditemui sejumlah wang tunai bernilai RM51,000 dan pada jam 9 malam hari yang sama, pihak polis menahan dua lagi suspek berusia 29 dan 46 tahun di belakang sebuah bangunan kedai di Jejawi, Arau.

"Dalam serbuan kedua itu, suspek sedang menunggu dalam dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Pesona yang membawa 350 karton rokok, 12 botol arak import, 296 botol ubat batuk bersama wang tunai berjumlah RM8,800," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Iklan

Surina berkata, hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek terbabit mendapati dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau kes judi, dadah dan ketum.

"Mereka akan membawa sejumlah wang tunai yang banyak ketika menjalankan perniagaan bertujuan untuk rasuah penguat kuasa jika mereka ditahan. Bagaimanapun kami masih menyiasat jika ada penguat kuasa yang didapati turut terbabit dalam kegiatan itu.

"Selain itu ubat batuk berkenaan dipercayai digunakan untuk memproses ketum sebelum dijual pada pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.