Baik pulih kemudahan rosak di sekolah agama

Iklan
Steven Choong (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil SA Sabilul Muhtadin Taman Puteri Wangsa Ahad lalu.

JOHOR BAHRU - Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau mengagihkan bantuan dana berjumlah RM248,000 kepada lima Sekolah Agama (SA) dalam Parlimen berkenaan Ahad lalu.

Ahli Parlimennya, Steven Choong Shiau Yoon berkata, bantuan yang disalurkan menerusi inisiatif Peruntukan Mesra Rakyat itu bertujuan membantu warga sekolah berkenaan membaiki kemudahan yang rosak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga bagi membolehkan pihak sekolah mendapatkan barangan serta kelengkapan baharu bagi sesi pembelajaran murid-murid di sekolah berkenaan.

"Kita amat memberi perhatian kepada kaedah pembangunan pendidikan generasi baharu di Parlimen ini, jadi dengan cara ini kami yakin ia dapat membantu.

Iklan

"Malah pembangunan sekolah agama yang sudah bertapak lama dalam negeri ini juga akan sentiasa dipelihara dan mendapat perhatian Parlimen Tebrau,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Steven Choong berkata, pemberian dana itu disalurkan secara berasingan dan bergantung kepada keadaan infrastruktur serta jumlah bantuan yang telah dipohon bagi setiap sekolah.

Iklan

"Sekolah yang menerima bantuan paling tinggi adalah SA Sabilul Muhtadin Taman Puteri Wangsa iaitu sebanyak RM84,000 khusus bagi tujuan baik pulih lantai bilik darjah rosak, menaik taraf dewan terbuka dan tempat menunggu pelajar.

"Selain itu, sekolah-sekolah lain yang menerima bantuan adalah SA Bandar Ulu Tiram (RM65,000); SA Sungai Tiram (RM44,000 ); SA Taman Mount Austin (RM30,000) dan SA Desa Cemerlang (RM25,000),” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan yang diberikan itu, Parlimen Tebrau berharap ia dapat memudahkan lagi sesi pembelajaran pelajar di setiap sekolah yang menerima bantuan.

"Sesungguhnya bantuan ini tidak akan berhenti di sini, saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memberikan bantuan kerajaan yang sememangnya milik rakyat,” katanya.