Operator judi dicekup, jual tambah nilai kredit judi di rumah

Iklan
Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan rampasan wang tunai dan telefon bimbit yang digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

KOTA BHARU - Seorang operator judi dalam talian bukan sahaja berpendapatan tetap dan mendapat komisen sebagai ejen kegiatan itu, malah turut memperoleh pendapatan sampingan melalui kegiatan penjualan tambah nilai kredit judi.

Suspek berasal dari Sarawak berusia 45 tahun itu ditahan menerusi Op Padu di sebuah rumah di Taman Desa Atira, Selising, Pasir Puteh pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menyerbu rumah didiami suspek pada jam 6.45 petang dan mendapati seorang lelaki berada di bahagian dapur dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian melalui telefon bimbit.

"Berdasarkan semakan di aplikasi WhatsApp, terdapat beberapa mesej transaksi untuk tambah nilai kredit bagi aktiviti judi dalam talian, satu kalkulator dan wang tunai berjumlah RM830 dirampas.

Iklan

"Suspek mengaku menetap di Pasir Puteh sejak 2017 dan terlibat sebagai ejen judi dalam talian pada Julai lalu dengan gaji tetap RM1,200 dan menerima komisen antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan, selain memperoleh sejumlah pendapatan sampingan melalui penjualan tambah nilai kepada pemain judi,” katanya pada sidang akhbar di IPK di sini hari ini.

Terdahulu dalam operasi sama katanya, pihaknya menahan tujuh lelaki sedang asyik bermain judi menerusi telefon bimbit masing-masing di atas bangsal belakang sebuah kedai makan di Kampung Danan, Selising, Pasir Puteh pada jam 6.30 petang hari sama.

Iklan

"Ketika polis menghampiri, mereka yang berusia antara 25 hingga 59 tahun tersebut cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

"Mereka bekerja sebagai pemandu lori, petani dan kerja kampung dengan lima mereka mengaku bermain judi, manakala dua lagi hanya melihat rakan mereka bermain. Urusan tambah nilai RM10 hingga RM30 dibuat melalui suspek lelaki yang menetap di Taman Desa Atira.

"Kesemua mereka direman empat hari bermula 15 November sehingga kelmarin untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu dalam op sama, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 30 tahun dalam dua serbuan berasingan di Pasir Puteh pada jam 1.30 pagi dan 3 pagi, semalam dan merampas wang tunai berjumlah RM608, telefon bimbit serta beberapa resit transaksi.

Kesemua mereka mengaku membeli tambah nilai antara RM10 hingga RM50 sehari untuk permainan itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.