Halang tugas, hina polis: Pegawai pemasaran dijel tujuh hari

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Padah menghalang tugas dan menghina anggota polis, seorang pegawai pemasaran dipenjara tujuh hari dan denda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Bryan Loh Wei Qian, 38, mengaku bersalah atas kedua-dua perbuatan tersebut.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan menghalang tugas, Bryan Loh dipenjara tujuh hari dan didenda RM4,500 atau empat bulan penjara manakala, bagi kesalahan menghina tertuduh didenda maksimum RM100 atau satu bulan penjara.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas seorang anggota polis, Koperal Mohd Nur Hisham Mat Nawi bagi menjalankan kerja-kerja jawatannya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menghina anggota polis sama dan rakan setugasnya bagi tujuan membangkitkan kemarahan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah stesen minyak di Taman Segar, Cheras di sini pada jam 11.30 malam, 9 Ogos 2019.

Iklan

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa telah menahan sebuah kereta mewah dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan tertuduh mengemukakan dokumen pengenalan diri tetapi dia enggan memberi kerjasama.

Tertuduh kemudiannya telah memaki mangsa dengan mengeluarkan perkataan ‘You orang tinggal rumah flat sahaja dan guna motor kecil, bukan macam saya berpelajaran tinggi dan tinggal di rumah besar serta menggunakan kereta mewah' sambil meludah ke arah bawah.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tinggi.

"Saya minta maaf, saya kerja biasa, kerja pejabat, gaji pun tak banyak, mohon hukuman dikurangkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pemenjaraan.

"Pengakuan salah tertuduh bukan faktor yang boleh diambil kira untuk meringankan hukuman. Tertuduh telah mengeluarkan perkataan yang menjatuhkan kredibiliti anggota penguat kuasa polis dan mohon hukuman penjara kepada tertuduh bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua mohon denda maksimum sebagai pengajaran,” katanya. - Bernama