PASIR MAS - Percubaan pasangan suami isteri Wan Ahmad Wan Yusof, 73, dan Hawa Mat Piah, 71, mengusahakan tanaman anggur Uzbekistan di kawasan sekitar halaman rumah berhasil apabila pokok itu berbuah lebat.
Bukan sahaja itu, rasa anggur Uzbekistan yang diusahakan mereka itu 'manis leting' sama rasanya seperti yang ditanam di negara asal buah berkenaan.
Wan Ahmad berkata, minat untuk mencuba tanaman anggur itu timbul ketika dia bersama isteri berkunjung ke rumah seorang guru, Mohd Radzi Wan Salleh,51, yang merupakan pakar dalam tanaman tersebut.
"Melihat potensi tanaman itu, kami tekad untuk menyertai kursus pertanian di Kuala Ibai, Terengganu bagi menambahkan ilmu berkait selok belok bidang berkenaan.
"Sejurus pulang daripada kursus itu, kami tidak berlengah dan terus mengusahakan tanaman anggur Uzbekistan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Dangar, di sini.
Melihat kepada hasil tanaman menjadi, pasangan pesara guru ini akan terus menjaga tanamannya hingga menhasilkan buah yang cantik dan sedap.