PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) kini dalam proses akhir untuk memfailkan kes Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland dan pintu rundingan dengan mana-mana pihak di negara ini sudah ditutup.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pasukan peguam mereka sedang mengkaji kes tersebut sebelum menfailkan kes berkenaan secepat mungkin ke CAS.
Menurutnya, walaupun mendapat jemputan dari Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam untuk mengadakan perbincangan, KFA bertegas untuk membawa kes tersebut untuk dibicarakan oleh pihak luar.
"Kita tetap profesional apabila MFL mahu membincangkan tentang perjalanan Liga Super dan sebagainya bersama KFA dalam minggu ini namun mungkin mereka juga akan menyentuh tentang Akhyar dan bagi kami rundingan tersebut sudah terlambat.
"Langkah seterusnya adalah melantik peguam dan mereka sedang mengkaji kes ini. KFA akan failkan ke CAS dalam masa terdekat iaitu pada minggu ini atau minggu depan, Insya- ALLAH," katanya ketika ditemui media.
Mohd Asmirul berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Akhyar namun cara beliau mahu keluar dari kem Hijau Kuning membuatkan KFA tidak mahu berlembut dalam hal tersebut.
Katanya, jika ada pihak atau pemain yang menggunakan cara yang salah, KFA akan tetap bertegas mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan
"Sebelum ini kami KFA dan Akhyar ada perbincangan namun kami dapat maklumat awal beliau telah ada perbincangan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), saya pun dapat video klip yang kini sedang tular sebelum ini.
"Tidak moleklah. Kalau boleh datang dan bincanglah dengan baik seperti yang diperkatakan oleh Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini," katanya.
Jelasnya, sebelum ini turut berlaku beberapa kes yang hampir sama seperti kes Akhyar namun tiada tindakan tegas yang telah diambil olehi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam pada itu, Mohd Asmirul mengakui KFA terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokong Lang Merah apabila menderma kepada tabung yang dilancarkan oleh pihaknya pada 3 Januari lalu bagi menanggung kos yang bakal menelan belanja lebih RM100,000 itu.
"Saya terharu dengan komitmen penyokong Kedah malah ada juga sokongan dari penyokong pasukan negeri lain seperti Perak apabila ada individu telah menyumbangkan sebanyak RM1,000 kepada Tabung CAS KFA.
"Rakyat mahukan perubahan, mahukan kerajaan ini bersih dan telus dalam apa-apa isu. Kita harap perkara ini perlu diambil maklum oleh semua pihak dalam apa jua organisasi.
"Saya juga melihat banyak persatuan negeri lain memberi sokongan kepada usaha sedang dilakukan oleh KFA," katanya.