SAFAWI Rasid menganggap api perjuangan Harimau Malaya semakin marak menyala hasil kemenangan berharga 2-0 ke atas Indonesia pada aksi kelima Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Begitupun, Safawi yang muncul wira apabila meledak kedua-dua gol dalam pertembungan itu yang disaksikan kira-kira 80,000 penyokong itu masih ada beberapa elemen yang perlu diperbaiki bagi memacu kejayaan Harimau Malaya.
"Seperti yang saya pernah cakap, saya tidak puas dengan apa yang saya buat. Jadi, saya perlu improve dari hari ke hari. Keputusan malam ini adalah penting untuk memberikan keyakinan bagi saya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Safawi yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 baru-baru ini menjangkakan Harimau Malaya bakal menghadapi ujian lebih getir dalam tiga baki perlawanan Kumpulan G yang dulu jadualkan berlangsung tahun depan.
"Kami akan memberikan komitmen dari segi kecergasan, buat extra untuk kekal cergas. Saya rasa untuk perlawanan seterusnya, kita akan berdepan tugas berat dan kita perlu bersedia untuk dua perlawanan away dan satu perlawanan home.
"Peluang dalam kumpulan ini masih lagi terbuka tetapi kita perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya. Jadi, kita perlu baiki apa yang perlu diperbaiki untuk persiapan tahun depan,” ujar pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Harimau Malaya dijadualkan menentang UAE di gelanggang lawan pada 26 Mac 2020 sebelum menanti kunjungan Vietnam lima hari kemudian.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu bakal mengakhiri Pusingan Kedua kempen kelayakan ini dengan bertemu Thailand di Bangkok pada 9 Jun 2020.