IPOH - Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menutup sebelah mata ketika menggulung perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebagai tanda solidariti terhadap seorang jurugambar bebas Palestin yang cedera ditembak pada mata.
Beliau yang tampil mengenakan baju Melayu berwarna jingga menampal mata kirinya untuk sokongan kepada Muath Amarneh, 35, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmaqis.
Iklan
Iklan
"Sebelum saya mulakan penggulungan, saya ingin mengajak yang ada dalam Dewan ini bersolidariti kepada jurugambar bebas Palestin.
"Dunia telah menunjukkan tanda kasih dan sayang dan kita menentang Israel dengan sesungguhnya," katanya.
Kejadian seorang wartawan bebas buta sebelah mata akibat ditembak tentera Israel ketika membuat liputan bantahan di Tebing Barat, Jumaat lalu itu telah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan dengan kempen dalam talian menggunakan tanda pagar #muatheye #eyeoftruth serta #muathamarneh, susulan penyebaran video dan gambarnya dibawa dari tempat kejadian dengan darah meleleh dari mata kirinya.
Kebanyakan wartawan di seluruh dunia dilaporkan turut berkongsi gambar mereka menutup atau menampal mata.