GEMBIRA dalam tangisan. Itu situasi menggambarkan nasib pemain posisi tengah kebangsaan, Brendan Gan ketika ini dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Selepas membantu Malaysia menjulang kemenangan ke atas Thailand pada 14 November lepas dan ke atas Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, perancang permainan dari Perak itu akan terlepas perlawanan kelayakan menentang UAE pada Mac tahun depan di Dubai selepas mengumpul satu kad kuning dalam setiap perlawanan itu.
Brendan bagaimanapun percaya ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe pasti mempunyai pilihan terbaik untuk menggantikannya bagi perlawanan menentang UAE.
"Saya kecewa kerana saya benar-benar mahu beraksi menentang UAE kerana ia perlawanan sangat penting bagi kami, tetapi saya mempunyai keyakinan penuh terhadap siapa sahaja yang dipilih menggantikan saya dan dapat melaksanakan tugas dengan baik.
"Pasukan ini adalah pasukan hebat, dan saya tidak bimbang mengenai siapa yang akan mengambil tempat saya," kata Gan ketika ditemui pemberita selepas pertandingan menentang Indonesia yang menyaksikan kemenangan selesa 2-0, hasil jaringan luar biasa pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid yang meledak gol pada minit ke-29 dan ke-72.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Brendan Gan memuji rakan sepasukannya yang menunjukkan kesungguhan mereka untuk memastikan kemenangan di hadapan penyokong Harimau Malaya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kemenangan itu tidak mudah kerana lawan mereka berjuang bermati-matian dalam perlawanan itu.
"Kami mengumpul sembilan mata (daripada lima perlawanan) dan berada dalam kedudukan selesa (di tempat kedua) dalam jadual (Kumpulan G) buat masa ini dan berharap tahun depan, kami dapat meningkatkan kedudukan.
"Kami perlu positif terhadap kualiti (pemain) yang kami ada dan kami bukan pasukan kecil lagi, kami berkembang maju dan menjadi lebih baik di bawah jurulatih Tan dan para pemain mula bertambah yakin. Apabila anda mempunyai keyakinan itu, itulah yang akan mendorong anda terus berusaha keras dan menjadi pasukan yang hebat”, kata pemain kelahiran Australia itu. - Bernama