Kereta terbang dan pengkritik tegar

Iklan

APABILA Malaysia melancarkan projek kereta nasional Proton Saga pada 9 Julai 1985, beberapa majalah antarabangsa pada waktu itu meramalkan projek sulung automotif Malaysia akan gagal.

Malah ada yang berpandangan jika Australia gagal dengan kereta Holdennya, maka Proton juga tidak terkecuali. Pengkritik Barat berpendapat jika Mat Saleh gagal dalam sesuatu usaha, maka orang Melayu juga tidak boleh berjaya.

Iklan
Iklan

Begitu juga dengan kritikan pedas pemimpin pembangkang pada masa itu terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan usaha untuk membangunkan kereta keluaran sendiri.

Kita juga dapat lihat kritikan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengusahakan kerjasama Proton-Geely. Pada masa itu pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Najib.

Iklan

Tidak perlu dihuraikan kritikan terhadap Mahathir dan Najib, cari sahaja di internet macam-macam kritikan boleh dibaca.

Apa jadi dengan syarikat Proton ketika ini? Berdasarkan kepada kenyataan MIDF Research pada 22 Ogos lalu, Proton muncul sebagai satu-satunya syarikat automotif yang mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun (y-o-y), berbanding dengan pesaingnya.

Iklan

MIDF Research berkata, syarikat itu mencatat pertumbuhan enam peratus dalam Jumlah Volum Industri (TIV) y-o-y berikutan kereta kebangsaan itu kini mencatatkan prestasi baik dalam industri.

"TIV Perodua y-o-y menguncup 16.4 peratus, Toyota turun 38 peratus, Honda jatuh 41 peratus, Nissan turun 39.4 peratus, Mazda merosot 16.5 peratus manakala jenama lain turun 39.2 peratus,” katanya.

Kenanga Research pula berkata, pertumbuhan positif Proton disokong oleh Proton X70 SUV yang popular dan disokong oleh Proton Iriz, Persona dan Exora yang berwajah baharu.

Secara umumnya kejayaan kereta di darat boleh dibanggakan. Bagaimana pula dengan kereta terbang?

Menurut laporan media, kereta terbang dikenali Super Dron adalah ciptaan bersama syarikat tempatan dan China.

Ia menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Ia dihasilkan menerusi usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Ia adalah kerjasama strategik bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron itu di negara ini.

EastCap Bhd ialah sebuah syarikat tempatan dengan Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari bertindak menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Struktur Super Dron itu juga tidak sama dengan kereta terbang yang sebelum ini didakwa dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan.

Sejak dicetuskan idea tersebut, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bukan sahaja menjadi bahan jenaka di media sosial, malah Menteri Pembangunan Usahawan itu turut menjadi bahan sindiran ahli Parlimen pembangkang pada sidang Dewan Rakyat.

Ternyata ramai yang sangsi dengan keupayaan menteri untuk merealisasikan cadangan itu.

Malah, sesi pandu uji kereta terbang pertama negara yang dijadualkan pada hari ini di Subang tidak mendapat lampu hijau daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sesi pandu uji kereta terbang UAS E-Hang 216 (EH216) yang sepatutnya disertai sendiri oleh menteri tidak dibenarkan kerana lokasi sesi itu berada berhampiran laluan penerbangan komersial dan trafik helikopter.

Walau apapun cabarannya, menteri perlu mengambil positif dengan setiap cabaran dan kritikan kerana ia adalah asam garam untuk berjaya.

Siapa sangka idea kereta terbang yang menjadi bahan jenaka pada masa kini rupanya sesuatu yang penting pada masa depan.

Mungkin nanti kereta terbang bakal menjadi pengangkutan utama digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengawal kebakaran di bangunan-bangunan tinggi.

Mungkin juga kereta terbang akan menjadi kenderaan paling efisien untuk menggantikan ambulans membawa pesakit ke hospital.

Mungkin juga pada masa depan kecanggihan kereta terbang dapat memudahkan pihak polis dan tentera dalam menjaga keselamatan negara.

Maka, menteri dan syarikat yang terlibat dalam usaha ini perlu sedaya upaya memastikan ia berjaya dan menutup mulut pengkritik.

Jika mereka tunduk dan berputus asa dengan komen pengkritik, maka tiada apa yang boleh dibuat dan sekadar duduk sahaja melihat kejayaan orang lain.

*Badruldin Zakaria ialah Penolong Pengarang Sinar Harian