KEHADIRAN seorang bekas pemain profesional Yomiuri Giants, sebuah kelab ternama Jepun mampu membawa bersama impak besar sukan itu di negara ini.
Kosuke Naruse diundang Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) untuk mengendalikan klinik besbol bagi meningkatkan teknik dan kemahirannya pada kalangan penggiat tempatan.
"Saya ke mari untuk mempromosi besbol sebagai sejenis sukan yang seronok untuk dimainkan. Di Jepun, besbol bersaing antara tiga sukan paling popular selain bola sepak dan ragbi.
"Anda yang belum biasa dengan besbol, inilah masa yang tepat untuk menceburinya. Saya cuba sumbangkan sesuatu daripada besbol kepada negara yang berbeza," kata jurulatih Akademi Besbol Yomiuri Giants ini.
Naruse, 27, bermain selama lapan tahun dengan kelab berkenaan dalam liga divisyen dua dan pernah memenangi beberapa kejuaraan kebangsaan.
"Besbol jadi sukan kesayangan saya sejak berusia tiga tahun. Saya teruskan kariernya ke sekolah tinggi dan jadi profesional sebelum terpaksa bersara awal kerana telah menjalani tiga pembedahan bahu," katanya.
Antara peserta klinik besbol Naruse ialah pasukan lelaki dan wanita kebangsaan Malaysia, kelab Snitchers UPM, mahasiswa-mahasiswa kolej UPM dan para pelajar sekolah menengah dan rendah Seri Serdang, Cheras Jaya dan Seri Indah.
Jepun mempunyai hubungan dan kerjasama besbol yang erat dengan BFM sejak beberapa bulan lalu.
Antaranya melibatkan kehadiran jurulatih pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 dengan Indonesia, mendiang Katsumi Harada bersama skuad negara dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa di UPM, Julai lalu.
UPM turut pernah menghantar 10 pemain lelakinya ke Sekolah Tinggi Okayama Sanyo selama dua minggu bagi menggilap dan meningkatkan tahap dan teknik permainan mereka.
Usaha pembangunan besbol Malaysia juga berjaya meyakinkan sebuah lagi kelab Jepun, Seibu Lions untuk menyumbangkan peralatan sukan ini yang terpakai mulai tahun ini.