PENGENDALI baharu Tottenham Hotpsur, Jose Mourinho mengakui bakal menghadapi tugas sukar untuk membimbing The Lilywhites dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mengambil alih jawatan itu daripada pengendali terdahulu, Mauricio Pochettino semalam.
Menurutnya, Spurs berada pada tahap kritikal dan menegaskan misi pertamanya adalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas West Ham United dalam aksi EPL Sabtu ini.
Spurs gagal memenangi lima perlawanan terakhir EPL termasuk tewas kepada Brighton 0-3 dan Liverpool 1-2. Malah, kali terakhir Spurs mencatatkan kemenangan pada penghujung September lalu ke atas Southampton di laman sendiri sekali gus menyaksikan pasukan itu kini berada di kedudukan ke-14 liga.
"Saya yakin bahawa Spurs tidak patut berada di kedudukan ini (ke-14 liga). Sepatutnya kami berada di kedudukan yang lebih bagus.
"Kami perlu mengharungi perlawanan demi perlawanan dan kami perlu menang semuanya. Di akhir musim kami akan melihat di mana posisi kami dan saya percaya kami boleh berada di posisi yang lebih baik daripada sekarang.
"Saya menantikan cabaran yang bakal dihadapi. Tanggungjawab saya mahu membawa kebahagiaan kepada setiap orang yang mencintai kelab ini," kata bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu.
Era Mourinho bersama pasukan London Utara itu akan dimulakan dengan perlawanan menentang West Ham United di laman lawan Sabtu ini sebelum berdepan Bournemouth pada 30 November sebelum menentang kelab lamanya, United pada 5 Disember.
Kata Mourinho, apa yang mahu dilakukannya sekarang adalah membentuk semula keharmonian dalam pasukan selain mahu memastikan semua pemain memahami taktikal yang bakal digunakannya.
"Memang agak sukar untuk memastikan semua pemain memahami apa yang dimahukan saya. Tetapi, semua pemain adalah pemain berkelas dunia dan mereka akan dapat cepat belajar untuk menyesuaikan diri.
"Yang penting adalah saya mahu pemain mencari kemenangan dalam perlawanan-perlawanan akan datang," katanya.