KEMENTERIAN Pemuda Dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia akan meminta penjelasan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berhubung tindakan penyokong Malaysia yang mengancam serta melakukan provokasi terhadap penyokong Indonesia ketika berakhirnya perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Setiausaha Kemenpora, Gatot S Dewa Broto berkata, jika benar adanya ancaman tersebut, Malaysia perlu memohon maaf kepada semua penyokong Indonesia.
Selepas berakhirnya perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, penyokong skuad Garuda didakwa diprovokasi oleh penyokong Malaysia di luar stadium sehingga berlaku kekecohan termasuk dibaling dengan botol.
Akibat daripada insiden tersebut, penyokong Indonesia tidak dibenarkan meninggalkan stadium dan hanya boleh berbuat demikian apabila keadaan sudah kembali terkawal.
"Kami belum dapat laporan lengkap dari PSSI kerana mereka tidak memberitahu mengenai perkara tersebut kepada kami.Tapi yang jelas kami akan lihat kembali insiden tersebut.
"Esok akan ada pertemuan antara kami dan PSSI dan kami akan tanyakan mereka mengenai insiden di Kuala Lumpur itu," katanya dipetik daripada sebuah portal berita Indonesia.
Gatot turut tidak menolak kemungkinan akan melaporkan insiden tersebut sekiranya ia benar-benar terjadi.
"Kita (lihat) bagaimana perkembangannya kerana semasa di Stadium Gelora Bung Karno, ia sangat besar dan memalukan. Tetapi kita akan lihat dulu jika sangat serius kami akan menghantar surat kepada FIFA.
"Tapi sebenarnya jika insiden itu kecil atau besar sekali pun, pemerintah di sana (Malaysia) setidaknya mengutus surat lah (permintaan maaf)," ujarnya.