Masuk jel gara-gara curi barang kemas ibu RM26,000

Iklan
Tertuduh (kanan) mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara selama 11 bulan ke atas seorang wanita kerana mencuri barang kemas ibunya bernilai RM26,000.

Hukuman itu diputuskan Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Nor Azniza Abdul Ghani, 32 mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) hari ini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan penganggur itu didakwa melakukan kesalahan mencuri rantai dan loket emas milik ibunya itu jam 8 pagi pada 18 November lalu di sebuah kediaman di Jalan Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mengikut fakta kes, kecurian itu disedari pada 18 November lalu ketika mangsa mendapati rantai emas dan loket emas miliknya tiada dalam simpanannya.

Setelah puas mencari, mangsa mengesyaki rantai dan loket itu dicuri anaknya kerana sehari sebelum kejadian (17 November 2019) tertuduh ada memasuki biliknya pada jam 10 malam untuk bertanya mengenai rantai yang mangsa janjikan untuk belikan kepadanya sebelum itu.

Iklan

Mangsa juga mendapati tertuduh ada memberitahu kepada anaknya yang lain bahawa dia ingin melarikan diri dari rumah kerana telah mempunyai wang yang banyak.

Bertindak daripada laporan, tertuduh ditahan sekumpulan polis pada 18 November lalu jam 1.30 petang di tepi jalan di Kampung Bukit Besar dan pihak polis telah merampas sekeping loket emas berserta surat pajak gadai dan wang tunai RM5,900.

Pada 19 November jam 2.30 petang, pihak polis telah membuat rampasan seutas rantai emas dari sebuah kedai pajak gadai di sini.

Hasil siasatan awal mendapati tertuduh mengaku telah mencuri kedua-dua barang kemas milik ibunya itu.