PUTRAJAYA - Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Presidennya, Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April tahun ini dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.
"Laporan ini dibuat bagi meminta SPRM membuat siasatan ke atas pelaksanaan kontrak ini sama ada berlaku salah urus atau rasuah.
"Ini kerana, Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) memaklumkan di Parlimen bahawa BNS memerlukan tambahan RM1.4 bilion lagi bagi membolehkan mereka menyiapkan projek dengan membekal LCS pertama pada April 2022," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurutnya, mengikut tarikh asal, LCS pertama seharusnya diserahkan pada April 2019 manakala LCS keenam pula pada April 2023.
Mengulas lanjut, Mohamad Imran berkata, projek yang bernilai RM9.128 bilion itu telah dianugerahkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sebelum ini.
"Kita harap dengan laporan (kepada SPRM) ini boleh membantu warga TLDM dapatkan kapal ini secepat mungkin.
"Jadi kita mohon SPRM dapat bantu menyiasat dan melihat keadaan ini bagaimana ia boleh dibaiki kerana hasrat utama kami (buat laporan kepada SPRM) adalah untuk membantu kerajaan, rakyat memperoleh kapal yang diidamkan," katanya.