KUALA LANGAT - Kerajaan Selangor dijangka akan melaksanakan Program Smart Kilang Tanpa Kebenaran 2.0 (KTK2.0) bermula pada suku ketiga tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, buat masa ini, pihaknya perlu membentangkan kertas kerja berhubung perkara itu di dalam mesyuarat exco terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan sebelum langkah seterusnya diambil selepas ini.
Beliau berkata menerusi kertas kerja tersebut, terdapat beberapa polisi baharu yang akan diperkenalkan kepada pengusaha kilang di negeri ini.
"Buat masa ini, saya sedang buat persediaan deraf kertas kerja ini terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan di dalam mesyuarat exco.
"Kemungkinan kita akan membuat pelaksanaan tersebut selepas itu," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Sze Han memaklumkan Program Pemutihan Kilang Haram akan diteruskan dan dijenamakan semula sebagai Program Smart Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) 2.0, bermula tahun ini.
Mengulas lanjut, Sze Han yang juga merupakan Adun Kinrara berkata sejak tahun 2006 hingga 2015, sebanyak 53 peratus kilang tanpa kebenaran telah dibersihkan oleh kerajaan negeri dengan jumlah pemutihan melebihi 2,000 buah kilang.
"Sebanyak 91 peratus permohonan yang dibuat telah berjaya melalui proses pemutihan dan ini bermaksud kilang-kilang ini dapat diberi peluang untuk beroperasi secara sah namun pihak berkenaan perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Sze Han berkata pihaknya juga telah mengadakan lawatan untuk bertemu pengusaha-pengusaha kilang di sekitar Selangor antaranya seperti Balakong, Teluk Gong dan Subang Jaya bagi memahami permasalahan pihak berkenaan di samping memberi penerangan mengenai dasar yang akan dilaksanakan selepas ini.
Tambah beliau, sekiranya kilang-kilang tanpa kebenaran ini dapat melalui proses pemutihan, ia dapat memberikan hasil kepada kerajaan negeri di samping meningkatkan jumlah keluaran dalam negara kasar (GDP).
"Kilang-kilang ini dapat memberi banyak sumbangan malah ia turut membuka puang pekerjaan buat anak tempatan di negeri ini," katanya.