PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof meninjau super dron atau kereta terbang UAS E-Hang 216 (EH216) di Subang, hari ini.
Pejabat Setiausaha Akhbar MED dalam satu kenyataan memberitahu, tinjauan dibuat susulan jemputan oleh usahawan tempatan, Eastcap Berhad yang bekerjasama dengan syarikat luar negara yang membawa dron tersebut.
Menurut kenyataan itu, lawatan tertutup ke atas usahawan seperti itu merupakan satu amalan biasa dijalankan oleh pihak kementerian dan agensi bagi melihat dengan lebih dekat kemampuan usahawan.
"Seperti banyak dilaporkan media sebelum ini, kementerian juga memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron dan air mobility yang dijalankan oleh syarikat tempatan dan luar negara.
"Projek seumpama itu dapat menggalakkan lagi aktiviti R&D dalam industri aeroangkasa dan 'air mobility' menerusi usahasama antara syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa dalam bidang assembly dan pembuatan parts & components serta menggunakan teknologi terkini merangkumi big data, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT)," katanya.
Kenyataan sama menyebut, ia merupakan inisiatif swasta yang tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada pihak kerajaan.
Menurut kenyataan itu, Redzuan dilaporkan berkata, sebagai kementerian yang menerajui pembangunan keusahawanan, MED akan terus menyokong dan memudahcara pembangunan usahawan PKS yang berinovasi tinggi.
"Ia selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di bawah Teras Strategik 5untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.
"MED akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030," katanya.
Memetik kenyataan sama, usahawan-usahawan yang ingin menceburi industri tersebut haruslah akur dan memahami peraturan serta undang-undang sedia ada, selain sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di negara ini terhadap proses penguatkuasaan dan pemantauan sebarang aktiviti berkaitan.
Kenyataan itu menyebut, menerusi lawatan pada hari ini, Redzuan turut diberi penerangan tentang perancangan syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan fasiliti pemasangan kereta terbang sebanyak 10,000 unit setahun dengan pewujudan 2,000 peluang pekerjaan untuk pasaran eksport dengan negara yang dikenal pasti oleh usahawan ini.
MED juga menggalakkan lebih banyak syarikat inovasi tempatan untuk memilih Cyberjaya sebagai platform test-bed untuk menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, dron dan air mobility.
Pada masa yang sama, pihak kementerian juga dimaklumkan sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai keperluan mewujudkan kerangka perundangan kondusif dan holistik bagi menyokong perkembangan industri ini di samping memperkasakan ekosistem sedia ada.
ARTIKEL BERKAITAN Sesi pandu uji kereta terbang dibuat secara tertutup
Kereta terbang tak dibenarkan terbang esok