ISKANDAR PUTERI - Langkah Tun Mahathir rombak Kabinet itu betul, kerajaan negeri wajar ambil langkah yang sama, kata Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Benut itu berkata demikian sebagai mengulas sidang media Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, yang menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan ( PH) pada Pilihan Raya Kecil ( PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Katanya, masyarakat Tanjung Piai telah memberikan gambaran yang jelas tentang kerajaan PH yang memerintah negara dan negeri ini yang gagal menunaikan janji dan perancangan diatur tidak menepati sasaran.
"Belanjawan Johor 2020, seharusnya dapat menggambarkan usaha-usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menangani isu- isu dihadapi rakyat negeri ini.
"Tetapi tiada langkah- langkah diambil kerajaan negeri untuk hal itu. Oleh itu, Johor dalam tempoh setahun lagi akan berdepan dengan keadaan biasa- biasa sahaja," katanya pada sidang media Barisan Nasional( BN) selepas pembentangan Belanjawan Johor, di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Turut hadir, ADUN Layang- layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi; ADUN Rengit, Ayub Jami; ADUN Tenggarah K Raven dan ADUN Panti, Hahasrin Hashim.
Sementara itu, Onn Hafiz menyifatkan Belanjawan Johor 2020 sebagai mengecewakan kerana langkah perubahan dilakukan dalam keadaan ekonomi merudum malah kerajaan negeri bertindak menaikkan cukai tanah.
"Hari ini tiada sebut langsung tentang kekalahan PRK Tanjung Piai. Mereka ( PH) bukan kalah sedikit.
"Setahu saya ada pemimpin pusat yang muhasabah diri, di Johor sepatutnya mereka yang pertama muhasabah diri kerana ini suara dari rakyat Johor," katanya.
Pada PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, dengan majoriti 15,086 undi.
Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi, manakala pesaing terdekatnya daripada PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.