KWSP tandatangan MoU bersama pemegang dana pencen terbesar Korea

Iklan
Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 edisi kelapan disempurnakan Dr Mahathir (tiga dari kanan) di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perkhidmatan Pencen Nasional Korea (NPS) sebagai sebahagian usaha KWSP untuk mengakses amalan terbaik dalam sektor perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, MoU itu juga menggalakkan perkongsian ilmu pengurusan sistem persaraan.

Iklan
Iklan

"Kerjasama ini memberi peluang untuk memanfaatkan tenaga kepakaran di peringkat global dan mencari solusi daripada perspektif berbeza.

"Kami juga berbesar hati berkongsi pengalaman unik KWSP di Malaysia untuk memberi nilai tambah kepada NPS dalam konteks kesejahteraan sosial Korea," katanya di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, KWSP menganjurkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Iklan

Tunku Alizakri berkata, KWSP ingin mendapatkan manfaat daripada kemahiran dan inisiatif baharu rakan serantaunya dalam menangani isu penuaan penduduk serta peningkatan gig ekonomi dengan matlamat bersama untuk membangun dan memahami persekitaran keselamatan sosial kedua-dua nagara.

Menurutnya, NPS ditubuhkan pada 1987 merupakan antara dana pencen terbesar di peringkat global dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$600 bilion dan 21 juta pencarum berbanding dengan 14.5 juta ahli KWSP sehingga Oktober 2019.

"Kedudukan NPS sebagai dana pencen utama di pentas dunia membolehkan KWSP mengambil contoh terbaik terutama berikutan peningkatan isu sosial yang mencabar serta ketidaktentuan ekonomi.

"MoU yang menguntungkan kedua-dua belah pihak ini melibatkan kerjasama dalam kegiatan latihan, merangkumi bidang dasar dan inisiatif pencen, projek penyelidikan dan perkongsian maklumat mengenai amalan terbaik," katanya.