PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan melakukan pelayaran ihsan membawa seorang warga emas dan bayi dari Pulau Perhentian untuk menjalani rawatan segera di Klinik Kesihatan Besut semalam.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, bantuan ihsan itu dihulurkan berikutan keadaan laut bergelora dan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter yang menyukarkan pergerakan teksi air untuk membawa ke dua-dua mangsa mendapatkan rawatan di klinik.
"Che Omar Che Mat, 70, mengalami kesukaran untuk bernafas selepas diserang penyakit asma dan memerlukan bantuan alat pernafasan oksigen.
"Sementara itu, Nor Ayra Aidelia Mohd Khairul Azwan yang berumur setahun lima bulan mengalami demam panas," katanya.
Menurutnya, APMM Kelantan terus menggerakkan bantuan bagi menyelamatkan mangsa sejurus menerima panggilan panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang dari Klinik Kesihatan Besut.
Beliau berkata, pelayaran ihsan yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim, Faris Mohd Sidek selamat tiba di jeti APMM Kelantan pada jam 6.25 petang.
"Kedua-dua pesakit yang ditemani oleh ahli keluarga masing-masing itu kemudian terus dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, setakat ini APMM Kelantan telah melaksanakan sebanyak enam bantuan pemindahan pesakit (medevac) daripada Pulau Perhentian.
"Sebagai persediaan menghadapi musim banjir, masyarakat umum dan komuniti laut diingatkan agar sentiasa membawa serta menggunakan personal floatation device (PFD) seperti jaket keselamatan semasa berada di laut.
"Jika berlaku sebarang kecemasan di laut kita harap mereka terus menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan lanjut," katanya.