SOSMA sedia ada sudah mantap, kata Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan

SHAH ALAM - Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay secara peribadi menganggap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sedia ada sudah mantap.

Beliau berkata, ini kerana sebelum akta itu digubal, kajian menyeluruh berdasarkan kepada penelitian berkaitan undang-undang pencegahan di banyak negara dilakukan sebelum ia diubah suai mengikut kesesuaian negara ini.

Iklan
Iklan

"Setiap negara mempunyai undang-undang pencegahan pengganas. Apa yang ada memang sudah mantap tetapi kalau ada pandangan daripada kerajaan, ahli Parlimen, orang politik untuk meminda SOSMA, kita akan akur.

"Kalau ada pindaan, saya rasakan mungkin berkaitan tempoh reman dan jaminan tetapi kita ada asas kukuh untuk tidak bersetuju. Sebagai contoh jaminan bagi suspek, apabila mereka keluar mungkin boleh melancarkan serangan kerana ia melibatkan soal ideologi.

Iklan

"Mereka ini boleh bergabung dengan suspek yang masih bebas di luar sana. Namun begitu, kita tunggu sahaja pindaan daripada kerajaan," katanya pada program Sinar Live di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Ayob berkata, bukan sahaja rakyat biasa tidak faham mengenai SOSMA tetapi golongan profesional berlatar belakang undang-undang juga berdepan perkara sama.

Iklan

"Mereka melabelkan akta ini sebagai tahanan tanpa bicara, undang-undang drakonian. Tiada ruang untuk bertemu peguam, mereka tidak dibicarakan secara adil.

"SOSMA digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) pada 2012. SOSMA ialah undang-undang prosedur yang memberi ruang bagaimana polis menjalankan siasatan seperti reman selama 28 hari di mana kita boleh gunakan saksi terlindung untuk beri keterangan di mahkamah, suspek tidak boleh dijamin dan kita boleh gunakan maklumat sensitif daripada agensi perisikan asing di mahkamah," katanya.

Jelasnya, banyak isu dimainkan pihak tertentu antaranya tahanan reman sehingga 28 hari tanpa melihat kepada kes keganasan bukan hanya melibatkan seorang individu sebaliknya kumpulan.

"Sebagai contoh di Lahad Datu, Sabah ada lebih 500 orang suspek ditangkap. Begitu juga dengan bahan bukti yang perlu disemak untuk mendapatkan maklumat.

"Selain itu jika kes melibatkan negara luar, kita terpaksa berinteraksi dengan penguat kuasa asing untuk mengambil kenyataan suspek yang terlibat dalam serangan di negara-negara berkaitan yang mempunyai kaitan dengan serangan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, jumlah 28 hari tahanan reman yang diperuntukkan dalam SOSMA tidak menggambarkan bahawa siasatan dijalankan sepanjang tempoh itu.

"Mungkin dalam tempoh 14 hari kita telah siapkan kertas siasatan dan serahkan kepada Pejabat Peguam Negara yang akan meneliti di mana ada kelemahan serta kertas siasatan akan dikembalikan semula kepada polis.

"Tempoh 28 hari itu bukan waktu polis boleh jalankan siasatan sebaliknya ia lebih pendek. Itu menjadi isu dan Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan libat urus dengan Majlis Peguam, badan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan masyarakat sivil," katanya.