KUALA PILAH - Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah sudah kembali beroperasi semalam selepas ditutup sementara sejak seminggu lalu.
Pemangku Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah, Nazarudin Zaizakrani berkata, penutupan pejabat tersebut berikutan pekerja di pusat khidmat itu bercuti.
"Kami telah beroperasi seperti biasa dan orang ramai yang ingin berurusan sama ada membuat aduan dan lain-lain boleh datang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
"Pejabat kami buka setiap hari Isnin hingga Jumaat, bagaimanapun tutup pada Sabtu dan Ahad," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Pusat Khidmat DUN Pilah di sini hari ini.
Nazarudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tular membabitkan pejabat tersebut.
"Lain-lain saya 'no comments' lah, lagipun tiada isu," katanya.
Ketika tinjauan di pejabat tersebut, ADUN Kuala Pilah yang juga Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Mohamad Nazaruddin Sabtu tiada susulan mempunyai program di Seremban.
Sinar Harian turut mendapat perkongsian gambar menunjukkan pejabat itu telah beroperasi semalam.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan yang mengatakan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah tidak beroperasi lagi dan sudah lama ditutup.
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan itu berkata, perkara berkenaan tidak perlu dijadikan isu kerana pejabat ditutup disebabkan kakitangan bercuti.
Semalam tular di laman sosial Facebook mengatakan bahawa Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah ditutup termasuk dikunci mangga.
Menerusi hantaran tersebut, mereka mendakwa pegawai di pejabat itu juga telah diberhentikan dan tugasan diambil alih bapa kepada wakil rakyat di kawasan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan tutup pejabat tapi pekerja cuti: MB