'Sesiapa sahaja boleh beri pendapat, yang tentukan saya'

Iklan
Dr Mahathir pada sidang media selepas pra-pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya beliau boleh menentukan kedudukan seseorang menteri dalam Kabinetnya sekiranya rombakan dilakukan.

Bagaimanapun katanya, semua pihak tetap berhak untuk memberikan pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Sesiapa sahaja boleh menyatakan pendapat (berhubung menteri mana yang perlu disingkirkan jika berlaku rombakan Kabinet).

"(Tetapi) saya yang akan tentukan (siapa menteri terlibat)," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Kuala Lumpur Summit 2019 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng antara nama paling awal perlu dirombak.

Iklan

Tuan Ibrahim dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau membuat saranan itu selepas mendapati ramai yang mahukan Guan Eng melepaskan jawatan berdasarkan tinjauan atas talian yang dibuat beberapa pihak.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam sidang media semalam memberitahu beliau akan menimbang desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.

Menurutnya, beliau akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.

Begitupun, rombakan itu akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian yang sempurna sebelum mengubah kedudukan menteri-menteri sedia ada.