Pembawa Jalur Gemilang: Jadi rangsangan terbaik buat Muhammad Rafiq

Iklan
Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA Manila 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyerahkan Jalur Gemilang kepada pembawa bendera yang juga atlet tenpin boling negara, Rafiq Ismail pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Sukan SEA 2019 ke Manila hari ini. - Foto: Bernama

PEMILIHAN sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang pada Sukan SEA ke-30 di Filipina penghujung bulan ini jelas membakar semangat pemain boling elit negara Muhammad Rafiq Ismail, untuk melakar keputusan positif pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Juara perseorangan lelaki Kejohanan Dunia 2018 itu mendedahkan, beliau berasa gembira dan teruja dipilih membawa bendera Jalur Gemilang dalam kalangan 773 orang atlet, yang menyertai Sukan SEA pada kali ini.

Iklan
Iklan

"Saya berbangga membawa bendera Malaysia ke Sukan SEA dan menjadikan ia sebagai satu motivasi untuk saya lebih fokus, untuk persembahan saya di Manila nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Sempena Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Hotel Tenera, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut dihadiri Timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu emas, daripada empat acara yang disertainya di Manila nanti.

Anak jati Kuala Lumpur itu akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan, beregu, beregu campuran serta acara berpasukan.

Iklan

"Saya menyasarkan emas dalam acara berpasukan tapi kalau dapat (emas) dalam acara lain, itu merupakan satu bonus bagi saya. Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri kerana saya mahu kekal fokus pada saingan kali ini,” jelasnya sambil memaklumkan kehadiran pemain wanita veteran, Shalin Zulkifli membakar semangat dirinya untuk membantu skuad negara meraih keputusan positif pada Sukan SEA nanti.

Muhammad Rafiq memaklumkan, skuad tenpin boling negara kini giat menjalani latihan di Pusat Boling, di Endah Parade memandangkan lorong permainan dan 'oiling pattern' di venue berkenaan adalah hampir sama dengan Pusat Boling Starmall EDSA Shaw di Manila, yang akan menjadi venue pertandingan Sukan SEA dari 3 hingga 8 Disember ini.

Beliau menambah skuad tenpin boling negara akan berlepas ke Manila 29 November ini bagi menyesuaikan diri dengan venue pertandingan, sebelum menghadapi saingan sebenar yang bakal membuka tirai pada 3 Disember nanti.

Sebagai rekod, Muhammad Rafiq meraih tiga emas dan satu perak pada edisi 2015 di Singapura dan dua emas dan satu perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama