IPOH - Suasana Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari kelima, semalam masih hangat dengan perdebatan isu pelaburan lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) berjumlah RM486 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed menyifatkan 1,500 peluang pekerjaan yang diumumkan menerusi kerjasama itu hanyalah satu cubaan kerajaan negeri menipu rakyat.
Menurutnya, berdasarkan sidang media pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu Mei lalu dimaklumkan syarikat berkenaan dijangka beroperasi pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
"Kalau bisnes pun baru nak 'set up' dan sebagainya bermakna peluang pekerjaan itu belum ada lagi, jadi tidak sepatutnya kerajaan negeri mendabik dada bahawa ia satu pencapaian baik dalam mengurangkan kadar pengangguran di Perak.
"Kita tidak mahu kerajaan beri gambaran kononnya ada peluang pekerjaan sedangkan perkara itu tidak ada lagi. Itu maknanya mereka cuba untuk menipu anak-anak muda yang sedang mencari dan memang mengharapkan pekerjaan, sampai bila nak menipu rakyat?," katanya dalam satu sidang media semalam.
Beliau berkata, banyak keraguan terhadap kredibiliti syarikat-syarikat berkenaan yang bukan sahaja mempunyai alamat syarikat setiausaha sama, tetapi dua daripadanya ditubuhkan dengan modal berbayar RM1 dan RM99.
"Takkanlah pelaburan begitu besar kerajaan negeri boleh beri kepercayaan kepada syarikat dengan modal RM1, saya tidak menyebutkan sebuah syarikat yang kukuh itu, tetapi mempersoalkan kredibiliti syarikat lain yang turut tersenarai.
"Kerana apabila disebutkan pelaburan, sudah tentulah keyakinan kita kepada syarikat yang kukuh kedudukannya," katanya.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu turut menempelak wakil kerajaan negeri yang menuduh pihaknya menjalankan siasatan mengenai isu itu menerusi carian Google.
"Saya bukan buat kerja bodoh, saya buat carian SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), semua ada tertulis di situ.
"Tidak perlulah kerajaan cuba berselindung, sebagai pembangkang saya bertanya dan sebagai kerajaan mereka perlu menjawab," katanya dalam satu sidang media berasingan.
Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan rakyat menerusi fakta yang palsu.
Menurutnya, amalan biasa mana-mana perjanjian persefahaman yang ditandatangan terutama berkaitan pelaburan sudah tentulah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu.
"Dakwaan mereka ini merendahkan kewibawaan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang terlibat dalam pemilihan syarikat berkenaan.
"Seolah-olah kita tidak ada kepandaian dalam memilih sedangkan ia satu entiti perniagaan yang cukup baik, tentulah kita sambut kedatangan mereka," katanya.
Selasa lalu, tular klip video berdurasi lebih tiga minit kandungan perbahasan oleh Salbiah yang mempersoalkan kredibiliti syarikat-syarikat berkenaan.
Tampil menjelaskan perkara itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How dalam sesi penggulungan pada Rabu berkata, kelima-lima syarikat itu merupakan perintis GBS di Perak dan ekosistem yang dibina akan menarik lebih ramai syarikat dan pelabur asing untuk mengoptimumkan guna pakai sumber manusia di negeri ini.
Lima syarikat iaitu Puncak Tegap Sdn Bhd beroperasi di Greentown Suria Ipoh; Volgo Sdn Bhd beroperasi di Greentown Business Centre Ipoh; Revoluteq Sdn Bhd beroperasi di Medan Ipoh Bestari manakala TecCSA Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd beroperasi di bangunan AEON Falim Ipoh.
Puncak Tegap Sdn Bhd syarikat yang wujud pada 1993 mempunyai modal berbayar RM40 juta sementara Volgo Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd mempunyai pelaburan masing-masing dengan pelabur dari China dan India yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.