PELABUHAN KLANG - Penghuni Pangsapuri Azaria, di Bandar Parklands, di sini, mempersoalkan tindakan segelintir pemilik yang menyewa beberapa unit Rumah Selangorku itu kepada orang lain termasuk warga asing.
Difahamkan, kira-kira 10 daripada 240 unit pangsapuri itu sudah disewakan dan ada di antaranya dijadikan asrama pekerja asing yang bekerja di kilang berdekatan.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Penaja Pangsapuri Azaria, Daniel Ng, 40, masalah itu dipercayai berlaku sejak Oktober lalu selepas pemaju menyerahkan kunci kepada pemilik, Julai lalu.
Perkara itu sudah dipanjangkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), namun sehingga kini masih belum ada tindakan diambil.
"Kita semua tahu Rumah Selangorku ini memang tidak boleh disewakan kepada orang lain. Tetapi kita berjaya mengesan ada segelintir pemilik berbuat demikian.
"Ada beberapa unit dijadikan asrama warga asing dan sekurang-kurangnya terdapat 10 warga asing yang menghuni di dalam sebuah unit di pangsapuri ini,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Serbaguna Pangsapuri Azaria, di sini, hari ini.
Katanya, penghuni di pangsapuri tersebut berasa terganggu apabila penyewa ini sering berbuat bising dan ada yang bersekedudukan antara lelaki dan perempuan hingga menimbulkan rasa kurang senang terutama penghuni beragama Islam.
Turut hadir, Setiausaha kepada Adun Pelabuhan Klang, Shahrul Adnan dan Ahli Majlis Pebandaran Klang (MPK), Hashim Mat Piah.
Setiausaha persatuan penduduk, Azlina Ramli, 46, berkata, beberapa agen hartanah cuba menghubungi pemilik-pemilik rumah dan menawarkan harga sewaan tinggi jika mereka ingin menyewakan kediaman mereka.
"Kita tak tahu bagaimana mereka (ejen) mendapatkan nombor telefon kami dan setiap hari mereka hubungi kami bertanyakan perkara itu.
"Kami juga pelik kenapa ada segelintir pemilik memberi sewa kepada orang lain sedangkan syarat utama, dilarang untuk menyewa rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, penghuni juga turut mempersoalkan caj selenggara yang dikenakan agak tinggi serta tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan.
"Setiap bulan kami perlu bayar antara RM163 hingga RM173 untuk caj selenggara sedangkan pangsapuri ini tidak mempunyai kolam renang.
"Soal keselamatan kami di sini juga terancam apabila banyak berlaku kes kecurian motosikal, kasut dan sebagainya sedangkan di sini ada disediakan khidmat pengawal keselamatan 24 jam. Jadi apa guna kami bayar caj mahal-mahal,” ujarnya.
Tambahnya, permintaan penghuni juga tidak diendahkan apabila minta disediakan kamera litar tertutup (CCTV) sebaliknya pengurusan meminta penghuni menyediakannya sendiri.
Sementara itu, Shahrul berkata, masalah itu akan dipanjangkan kepada Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha, LPHS dan pihak berkaitan dalam masa terdekat.
"Kita pandang serius perkara ini kerana kita sedia maklum Rumah Selangorku diperkenalkan untuk rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri dan syarat kelayakan jelas di mana ia mesti didiami bukan disewa.
"Kita akan mengadakan dialog bersama pemaju, pihak pengurusan serta pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan Exco terbabit gagal berikutan beliau sedang menunaikan umrah dan dijangka pulang ke tanah air minggu hadapan.