KOTA BHARU – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mempertimbangkan rombakan Kabinet adalah tepat memandangkan rakyat kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob berkata, adalah menjadi hak seorang perdana menteri untuk bertindak demikian jika dia melihat Kabinet yang dibuat sebelum ini tidak membantu kerajaan memerintah.
"Itu hak dia dan bagi saya juga sudah sampai masanya Tun untuk buat rombakan supaya (Kabinet baru) lebih baik dan kukuh pada masa depan.
"Kita lihat ahli dewan rakyat pun tidak berminat untuk masuk Dewan, menteri tidak datang, (tetapi) tidak semua menteri.
"Ada sesetengah menteri itu tidak datang, tapi beri kepada timbalannya untuk jawab. (mungkin) ini yang difikirkan oleh Tun, sudah sampai masanya untuk dibuat (rombakan), bila masanya, kita tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai desakan agar rombakan kabinet dibuat selepas kekalahan besar PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.
Walau bagaimanapun Dr Mahathir menegaskan, beliau akan mendengar pandangan Majlis Presiden PH berhubung desakan berkenaan.
Ahmad berkata, isyarat yang diberikan di Tanjung Piai baru-baru ini merupakan petanda terbesar bahawa rakyat semakin menolak pentadbiran PH masa kini.
Malah ketika ditanya pendapatnya mengapa mesyuarat Kabinet kini semakin ‘lengang’, Ahmad berkata, mungkin sebelum ini menteri-menteri ini terlalu banyak ‘disoal’ pembangkang mengenai manifesto dan janji kepada rakyat.
"Ia melibatkan golongan muda yang mengharapkan sesuatu kepada mereka terutama yang banyak buat pinjaman dan sebagainya, mungkin sebab itulah,” katanya.