Pakistan, Bangladesh ikrar berdiri di belakang Palestin

Iklan

ISLAMABAD - Pakistan dan Bangladesh menolak aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat dan mengesahkan sokongan penuh mereka kepada Palestin semalam, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua negara.

Mengulas pengumuman Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bahawa kewujudan penempatan Israel di Tebing Barat tidak bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Mohammad Faisal berkata, pendirian negaranya tidak berubah.

Iklan
Iklan

"Kedudukan Pakistan mengenai penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki tetap tidak berubah selaras dengan beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutama Resolusi 465 (1980), 1860 (2009) dan yang terbaharu Resolusi 2334 yang diterima pakai pada Disember 2016," kata Faisal kepada pemberita semasa taklimat mingguan.

Beliau berkata, Pakistan menganggap semua penempatan Yahudi di wilayah Tebing Barat yang diduduki sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan ia akan terus menjejaskan kebolehlaksanaan penyelesaian dua negara serta prospek keamanan yang berkekalan di rantau itu.

Iklan

"Selain itu, OIC berulang kali membangkitkan isu penempatan haram dan menganggapnya satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.

"Sebagai anggota pengasas, pendirian Pakistan juga adalah selari dengan OIC," kata Faisal merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama Islam yang dianggotai 57 negara dengan penduduk Islam yang ramai.

Iklan

Sementara itu, Bangladesh mengesahkan pendiriannya yang menyokong integriti wilayah Palestin dan menolak pendudukan Israel serta aktiviti penempatan di wilayah Palestin.

"Bangladesh mengulangi sokongannya yang tidak berbelah bagi kepada Palestin dan integriti wilayahnya seperti yang termaktub dalam Resolusi UNSCR 242 serta resolusi lain UNSC, termasuk UNSCR 338, 425, 1397, 1515 dan 1544 selain prinsip tanah untuk perdamaian,” menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh pada lewat Khamis.

"Majlis Keselamatan, UNGA, HRC dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengesahkan bahawa pembinaan dan peluasan penempatan Israel serta aktiviti penempatan lain yang berkaitan dengan wilayah Palestin Yang Diduduki adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa," katanya merujuk kepada Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

"Bangladesh yakin bahawa tiada keraguan tentang status tidak sah pendudukan Israel serta aktiviti penempatan di wilayah Palestin,” katanya.

Bangladesh turut menggesa Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa dalam hal ini, menurut kenyataan itu yang menambah bahawa Bangladesh mengesahkan sokongannya kepada hak-hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipindahkan di tanah air mereka.

AS pada Isnin telah mengubah pendiriannya berhubung penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus melanggar duluan empat dekad dengan menyatakan bahawa ia tidak lagi dianggap sebagai haram.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengumumkan perkara itu yang melenyapkan pendapat undang-undang Jabatan Negara pada 1978 yang menganggap penempatan tersebut sebagai 'tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa'.

Kira-kira 650,000 Yahudi Israel kini menetap di lebih 100 penempatan yang dibina sejak 1967 apabila Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Rakyat Palestin menginginkan kesemua wilayah di sepanjang Semenanjung Gaza ini untuk menubuhkan negara Palestin pada masa akan datang.

Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki dan menyifatkan semua aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di kawasan itu sebagai tidak sah. - Bernama