IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2020 berjumlah RM1.098 bilion selepas dibentang dan dibahas selama empat hari bermula pada 15 November lalu.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2020 itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas undi belah bagi dilakukan.
Kesemua 10 Exco Kerajaan Perak menggulung perbahasan Belanjawan Negeri 2020 mengikut portfolio masing-masing selama bermula kelmarin (20 November)
Hari ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat penggulungan terakhir perbahasan Bajet Negeri Perak 2020 sebelum ia diluluskan.
Terdahulu, Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) bangun meminta supaya undi belah bagi dibuat bagi meluluskan Belanjawan Negeri 2020 yang dibentangkan.
Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham kemudiannya mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersetuju dengan Belanjawan 2020 itu berdiri untuk memudahkan pengiraan dan kesemua 31 ADUN kerajaan termasuk seorang ADUN bebas berdiri menyokong belanjawan itu.
Bagaimanapun 28 ADUN pembangkang kekal di tempat duduk masing-masing ketika Koo Ham meminta ADUN yang tidak bersetuju dengan belanjawan tersebut berdiri.
Koo Ham kemudiannya mengumumkan Belanjawan Negeri 2020 diluluskan pada bacaan kali kedua sebelum disambung untuk bacaan kali ketiga.
Pada pembentangan sebelum ini, Ahmad Faizal mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2020 kepada RM1.098 bilion berbanding RM1.061 bilion pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, RM771 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi untuk pembangunan.
Belanjawan Negeri 2020 itu memberi fokus kepada empat tumpuan iaitu Menjana Ekonomi Seimbang, Keadilan Sosial; Kesejahteraan Rakyat serta Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar; Memperkasa Pendidikan dan Modal Insan; dan Memperkukuhkan Tadbir Urus dan Memupuk Tanggungjawab bersama.