Jaga kesihatan, kebersihan kucing

Iklan
Suntikan vaksin membantu mencegah pelbagai penyakit yang boleh membawa kemudaratan kepada manusia dan haiwan itu sendiri.

DOKTOR veterinar, Dr Nurul Hafizah Abu Jazid menjelaskan, apabila seseorang itu memutuskan untuk membela kucing sama ada yang dibeli di kedai haiwan ataupun dikutip di jalanan maka mereka perlu bersiap siaga daripada pelbagai aspek.

Tutur beliau, menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan bermakna tanggungjawab dipukul sama seperti kita menjaga dan menyayangi anak sendiri. Ia berikutan si comel berkenaan mempunyai emosi, perasaan dan karakter tersendiri yang wajar diberi perhatian.

Iklan
Iklan
Nurul Hafizah

"Peringkat permulaan, wajar mencari ilmu mengenali habitat, pemakanan, gaya hidup, jenis dan baka haiwan ini supaya dapat menyediakan keperluan bersesuaian.

"Sebelum dibawa pulang ke kediaman langkah terbaik adalah berjumpa pakar veterinar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin.

Iklan

"Langkah ini demi mencegah pelbagai penyakit yang boleh membawa kemudaratan bukan sahaja kepada manusia, bahkan haiwan itu sendiri," jelasnya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.

Tambah beliau, keperluan vaksin adalah bergantung pada umur, gaya hidup dan hari pertama ia diambil oleh pemilik. Selain itu, jumlah suntikan pula diberi mengikut dos ditetapkan.

Iklan

Berbicara mengenai penyakit kucing, Nurul Hafizah memaklumkan agar berwaspada sekiranya haiwan itu mengalami jangkitan Sporotrichosis atau Toksoplasmosis.

"Sporotrichosis misalnya, merupakan penyakit kulat Sporo yang masuk ke dalam badan kucing melalui luka atau mulut. Penyakit ini lazimnya memberi kesan buruk sekiranya kucing dijangkiti mencakar atau menggigit manusia.

"Jika anda berdepan situasi ini (digigit, dicakar), dapatkan rawatan doktor dalam kadar segera bagi mengelakkan penyakit itu merebak," ujarnya yang turut menasihatkan supaya sangkar atau tempat tinggal kucing sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Beliau juga menyatakan, jenis makanan atau suplemen yang diberikan harus mengikut kesesuaian haiwan berkenaan memandangkan setiap kucing mempunyai keperluan berbeza-beza.

Tip membela kucing

- Kenal pasti kemampuan diri. Bijak memperuntukkan masa untuk bermain bersama bagi mengelakkan kucing tidak berasa terbiar.

- Banyakkan membaca untuk mengenali sifat, perasaan, jenis atau baka sebelum memelihara kucing.

- Bawa kucing berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan dan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berbahaya.

- Rujuk doktor untuk mengenal pasti makanan tambahan atau suplemen bersesuaian dengan kondisi kesihatan kucing.

- Elakkan memberi makanan bergoreng kerana ia boleh menyebabkan bulu kucing gugur.

- Pastikan sangkar tidak terlalu sempit bagi memudahkan haiwan berkenaan bergerak.

- Sentiasa bersihkan tempat dan menukar pasir sekurang-kurang dua kali sehari.