MENGANGKAT tema 'Anda dan Maggi Membawa Kesan Positif Kepada Masakan Harian', Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi 2019 (MSSCC 2019) berjaya meningkatkan kemahiran bakat muda beraksi di dapur.
Peringkat akhir MSSCC 2019 di Ipoh, Perak baru-baru ini misalnya, peserta berusia antara 13 hingga 15 tahun diberi tugasan menyediakan hidangan berkonsepkan, Makanan Malaysia yang enak dan seimbang.
Inisiatif itu secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta remaja khususnya mempelajari keistimewaan masakan dari negeri dan budaya masing-masing.
Pada masa sama, ia memupuk minat memasak di rumah termasuk menggalakkan memilih menu sihat mengikut kiraan Suku Suku Separuh, 5 Warna Sehari dan Piramid Makanan Malaysia.
Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan, Maggi Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, acara tahunan MSSCC bukan sekadar pertandingan memasak.
"Kami ingin memberi inspirasi kepada mereka (pelajar) supaya memasak di rumah, bijak membuat pilihan nutrisi dan mengaplikasi kemahiran serta pengetahuan dengan cara berbeza.
"Pertandingan tahun ini telah menyaksikan sentuhan baharu iaitu Cabaran Masakan Kreatif yang menyaksikan peserta keluar daripada zon selesa, berfikiran inovatif dan mahir menyelesaikan masalah, sekali gus menghasilkan sajian enak," katanya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.
Selain Geetha, peserta MSSCC 2019 turut diadili barisan juri lain seperti Duta Maggi Cukup Rasa, Datin Paduka Eina Azman, Cef Korporat Nestle Malaysia, Cef Abdul Muluk dan Ketua Program Seni Kulinari Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Perak, Norliza Yahaya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura Dungun, Terengganu, Wan Najmiatul Fadhilah Wan Zailany dan Siti Nurliana Muhamad Nazri, masing-masing berusia 15 tahun dinobatkan sebagai juara.
Mereka membawa pulang Piala MSSCC dan wang tunai sebanyak RM3,000 selepas berjaya menambat hati juri dengan sajian Sata Udang Sos Lemak Cili Api dan Pasembur Chutney.
Sementara itu, tempat kedua memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala RM1,000 untuk tempat ketiga.