MARANG - Hujan lebat selama lebih tiga jam bermula tengah malam di kawasan Dun Rhu Rendang di sini menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat awal pagi tadi.
Seorang penduduk yang terjejas di Kampung Kijing, Ramli Mustafa, 60, berkata, dia hanya sedar rumahnya mula dimasuki air menerusi pintu depan kira-kira jam 3.30 pagi.
"Kami semua sudah tidur, hanya tersedar rumah ini dinaiki air kira-kira 3.30 pagi dan kami mula menimba air keluar dari rumah lebih kurang 5.30 pagi," katanya kepada Sinar Harian.
Ramli berkata, rutin mereka tujuh beranak terjejas selain barang rumah turut rosak manakala kerja kerja membersihkan rumah berkenaan hanya berakhir pada tengahari tadi.
Menurutnya, kejadian banjir kilat itu kali pertama berlaku dan percaya ia berpunca dari kesan pembinaan dan sistem perparitan yang kian mengecil menyumbang berlaku kejadian itu.
"Dulu tiada pembangunan lagi dan disebabkan itu kami berharap pihak berwajib dapat mencari jalan menyelesaikan masalah ini. Dulu kalau hujan lebat lama sampai dua atau tiga jam air tak naik, kali ni berbeza," katanya.
Pada 17 Disember lalu, rumah Ramli turut dinaiki air ketika banjir gelombang kedua melanda Marang dan ini merupakan kejadian kedua dialami dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Pejabat Dun Rhu Rendang, Wan Nelang Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima aduan termasuk daripada penduduk Medan Jaya dan Taman Kalungan Melur.