PADANG - Sekumpulan pemandu perkhidmatan e-hailing (Gojek) melarikan jenazah anak rakan mereka dari Rumah Sakit Doktor Muhammad Djamil Padang, Sumatera Barat, Indonesia.
Kejadian itu dirakam sebelum dimuat naik di Facebook Anak Motor Indonesia hingga tular.
Menerusi laporan Detik News, kejadian itu berlaku pada 19 November selepas mereka berang dengan langkah pihak hospital yang didakwa sengaja melengah-lengahkan pengurusan jenazah berkenaan.
Ketua Gojek Padang, Nanda, berkata, mereka mengambil tindakan drastik setelah mendapat tahu keluarga rakan tidak boleh mengebumikan jenazah bayi itu kerana tidak mampu membayar bil hospital sebanyak 25 juta rupiah (kira-kira RM7,400).
"Sebelum bayi itu meninggal dunia, penunggang Gojek telah menggerakkan solidariti untuk mengumpul dana kerana kos rawatan yang tinggi di hospital itu.
"Bayi berusia enam bulan itu kemudiannya disahkan meninggal dunia dan keluarganya sukar membawa pulang jenazah itu kerana kekangan kewangan. Inilah yang mendorong kita untuk mengambil langkah drastik dengan melarikan jenazah bayi itu," katanya.
Ibu bayi berkenaan, Dewi Surya berkata, keluarganya dalam proses mendaftar skim penjagaan kesihatan apabila Muhammad Khalif Putra mula jatuh sakit dan meninggal dunia pada pagi Selasa.
"Hospital itu mendesak kami untuk membayar bil. Proses dokumentasi pula mengambil masa lama.
"Kumpulan penunggang motosikal naik marah, lalu membawa keluar Alif secara paksa kerana kasihan jenazah yang berada lama dalam rumah mayat,” katanya.
Sementara itu, pihak hospital menafikan berlaku kesukaran dalam proses pengambilan jenazah bayi itu.
"Pihak kami tidak pernah menyusahkan mereka untuk membawa pulang jenazah itu tetapi ada prosedur yang perlu diikuti supaya tidak membahayakan kedua-dua pihak," katanya.
"Jenazah yang meninggal baru boleh dibawa pulang selepas urusan selesai namun tiba-tiba saja ada rombongan Gojek datang ke bilik mayat dan membawa pulang ke rumah tanpa pengetahuan keluarganya." kata Doktor M Djamil Padang, Gustavianof.
Dalam pada itu, Pengarah hospital Yusirwan Yusuf bagaimanapun menjelaskan bil tertunggak itu sudah dibayar oleh lembaga hospital dan menggambarkan insiden itu sebagai salah faham.
"Hospital kami hanya mendapat tahu tentang keadaan keluarga itu apabila mereka memfailkan aduan bersama pegawai kami,” kata Yusirwan.
Terdahulu tular di video durasi 3 minit memaparkan sekumpulan Gojek melarikan jenazah anak rakannya Rumah Sakit meraih simpati dari netizen.