SHAH ALAM - Sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya baru-baru ini menafikan dakwaan kononnya mereka mengadu sudah 'hilang' parti.
Menerusi kenyataan bersama, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Salim Sharif, Datuk Jalaluddin Alias, Ramli Mohd Nor, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Datin Mastura Mohd Yazid berkata, sebaliknya pertemuan itu hanya berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.
"Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media Tun Mahathir petang tadi, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada masuk parti lain atau sebaliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti
Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan malam itu adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat di kawasan Parlimen yang diwakili mereka.
"Seperti yang dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami tidak akan sesekali keluar UMNO apatah lagi lompat parti.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbarnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi memberitahu, pertemuan pemimpin UMNO dengan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya bertujuan memberitahu mereka sudah 'hilang' parti.
Katanya, Mohamed Azmin memaklumkan perkara itu kepada beliau ketika ditanya mengenai pertemuan kontroversi itu.