SELAMA - Pemuda Pas Perak mengharapkan kerajaan Perak bersikap lebih adil dalam menangani sebarang isu membabitkan pelantikan imam di negeri ini pada masa hadapan.
Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, Pemuda Pas Perak tidak mempunyai masalah untuk menerima sebarang keputusan 'merehatkan' mana-mana imam di negeri ini sekiranya imam tersebut tidak layak atau bermasalah kerana hal itu melibatkan permasalahan jemaah masjid yang ramai.
Namun, beliau menegaskan Pemuda Pas Perak tidak akan teragak-agak mengemukakan bantahan kepada pihak bertanggungjawab jika sebarang keputusan pemecatan dibuat dilihat ada kaitan politik dan khilaf perbezaan pandangan dari kalangan ulama.
"Di Perak, kita harap kerajaan negeri lebih adil menilai keupayaan sesuatu jawatan awam seperti imam masjid.
"Jika imam itu layak, maka perkhidmatan perlu diteruskan sebab memang layak dan masyarakat menerimanya di samping mereka ada kelebihan untuk menarik jemaah mengimarahkan masjid.
"Sekiranya tidak layak atas faktor kukuh, kita setuju ditukar, tetapi kita harap di Perak tidak berlaku sebagaimana di Perlis, proses pemecatan imam dilihat dibuat secara semborono," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tular mengenai surat pemecatan 25 imam kariah masjid di Perlis, manakala 10 lagi ditukarkan ke kariah lain berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPS) tanpa menyatakan sebab pemecatan.
Mohd Akmal berkata, pihaknya berharap insiden sedemikian tidak berlaku di Perak kerana dibimbangi akan menjejaskan keharmonian kariah masjid yang selesa dengan imam masjid dilantik di kawasan mereka.
"Saya juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPK), Timbalan Mufti Perak, Mufti Perak dan baginda Tuanku Sultan Perak yang memayungi pentadbiran agama Islam di Perak akan melakukan yang terbaik untuk memartabatkan agama Islam dan memastikan proses pelantikan imam tidak berlaku masalah," katanya.