RIO DE JANEIRO - Seorang ibu muda mati ditembak oleh tunangnya yang cemburu gara-gara memberikan lebih perhatian terhadap anak lelaki mereka yang berusia setahun.
Maria Eduarda Lima, 17, dilaporkan ditembak di kepala dan tangan oleh pasangannya, Patrick Azevedo Silva, 22, ketika anaknya sedang duduk di pangkuannya.
Lelaki itu dilaporkan melakukan serangan itu pada pagi Selasa di rumah mereka sebelum melarikan diri namun berjaya ditangkap pada hari yang sama.
Menurut bapa saudara mangsa, Lucas Rodrigues, 26, mangsa telah menghantar mesej kepada ibunya pada malam Isnin yang mendakwa Patrick bersenjata dan mengancam membunuhnya.
Mereka kemudian bergegas ke rumahnya dan menjumpai mangsa dalam keadaan cedera manakala anaknya menangis di sampingnya.
Wanita itu dibawa ke Hospital Negeri Alberto Torres untuk rawatan namun doktor memaklumkan peluru berada di bahagian yang sukar.
Mereka memutuskan untuk menunda pembedahan dengan harapan keadaannya akan bertambah baik tetapi remaja itu disahkan meninggal dunia pada keesokannya.
Keluarganya memutuskan untuk mendermakan organnya sebelum dikebumikan dan kanak-kanak itu dipelihara oleh datuk dan neneknya. - Agensi