ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berhasrat mewujudkan pusat pengumpulan Household E-Waste atau sisa elektronik dari isi rumah sebagai usaha memastikan pengurusan dan kawalan pencemaran yang lebih baik di negeri itu.
Exco Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah, Ooi Tze Min berkata, usaha berkenaan perlu diambil demi memudahkan masyarakat membuang sisa buangan elektronik dari rumah masing-masing, seterusnya mengelakkan bahan buangan tersebut dilupuskan di tapak pelupusan yang boleh mencemarkan alam sekitar.
"Di pihak kerajaan negeri, kita sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah pengurusan dan kawalan pencemaran yang lebih baik bagi memastikan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
"Jadi, saya turut berhasrat mewujudkan pusat pengumpulan berkenaan melalui jalinan kerjasama dengan semua PBT di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengukuhan Pematuhan Terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Penggunaan Sistem Aplikasi Eswis sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 Peringkat Kedah di Wisma Persekutuan di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi; Timbalan Pengarah 1 Bahagian Operasi JAS Kedah, Che Mahamud Ismail dan Timbalan Pengarah 2 Bahagian Pembangunan JAS Kedah, Zulfadzli Zakaria.
Pusat pengumpulan Household E-Waste merujuk kepada pusat pengumpulan yang menguraikan barangan elektronik dari isi rumah yang telah rosak, yang disenarai sebagai sisa buangan terjadual seperti komputer, komputer riba, peti sejuk, pendingin hawa, mesin basuh, peralatan elektronik kecil isi rumah dan sebagainya.
Pelupusan yang dilakukan secara tidak terancang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan menjejaskan kesihatan manusia.
Sementara itu katanya, bagi 2019, sebanyak 57 pemeriksaan telah dijalankan terhadap 25 Premis Yang Ditetapkan (Buangan Terjadual), yang mana terdapat enam premis tidak patuh Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 (PPKAS (BT) 2005), manakala bagi Premis Yang Tidak Ditetapkan (Buangan Terjadual) yang tertakluk peraturan ini telah dijalankan sebanyak 495 pemeriksaan dengan 158 premis didapati tidak patuh.
Katanya, pihaknya mendapati berlaku peningkatan sebanyak 600 peratus ketidakpatuhan terhadap peraturan, meskipun pelbagai bentuk konsultasi diberi demi meningkatkan pematuhan industri.
"Jadi situasi seperti ini tidak seharusnya berlaku, sekali gus pihak terbabit diharapkan mengambil berat dan komited dalam mematuhi peraturan ini serta peraturan-peraturan lain di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
Kata Tze Min, semua pihak khususnya pihak industri diseru memberi fokus dan lebih serius dalam meningkatkan tahap kecekapan dalam pengurusan buangan terjadual bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, kejayaan usaha memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama erat dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat.