Cyberjaya ibarat 'Chinatown'

Iklan
Pasar raya mini yang dipercayai beroperasi sebelum ini tutup selepas serbuan dibuat imigresen Rabu lalu.

CYBERJAYA - Sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar membabitkan warga China yang diserbu Jabatan Imigresen pada Rabu telah 'bersarang' sejak April lalu menjadikan kawasan tersebut seperti 'Chinatown'.

Menurut penduduk sekitar kawasan tersebut yang enggan mendedahkan nama mereka memberitahu, mereka terkejut dengan kehadiran ratusan warga China di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Iklan
Iklan

Salah seorang pembantu kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Zakuan, 24, mendakwa, sebanyak tiga hingga empat buah bas digunakan untuk mengangkut anggota sindiket berkenaan hampir setiap hari.

Tambahnya, operasi sindiket itu bermula kira-kira jam 9 pagi hingga hampir tengah malam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali pada Sabtu dan Ahad.

Iklan

"Kehadiran mereka mula ketara sejak April tahun ini dan selain serbuan besar-besaran (Rabu lalu), beberapa serbuan lain pernah dibuat sebelum itu, namun warga China itu kembali memenuhi kawasan sekitar.

"Pagi mereka datang naik bas, malam pun bas yang sama ambil mereka. Saya selalu balik malam akan ikut jalan belakang, jadi memang selalu nampak bas parkir tepi jalan utama ambil mereka balik kira-kira jam 11 malam.

Iklan

"Tapi mereka tak keluar ramai-ramai. Keluar sikit-sikit. Ada dalam tiga ke empat bas setiap hari," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Zulaika, 22, berkata, dia tidak selesa dengan kehadiran warga China yang terlalu ramai sehingga menjadikan kawasan perniagaan di situ seperti 'Chinatown'.

"Biasanya mereka akan keluar sekejap dalam jam 5.30 petang, mungkin itu waktu rehat mereka. Mereka akan bersantai di luar-luar kedai, ada yang berdiri tengah laluan kenderaan tanpa menghiraukan kenderaan yang mahu lalu.

"Mereka semua tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris mahupun tempatan. Mereka tidak faham. Hanya cakap bahasa Cina," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan itu lengang daripada warga China yang sebelum ini didakwa menjadikan kawasan itu sebagai 'port'.

Terdapat dua pasar raya mini dipercayai beroperasi sebelum ini yang dikendalikan warga terbabit juga sudah ditutup.

Seorang lagi pekerja tempatan memaklumkan kedua-dua pasar raya mini itu tidak beroperasi sejak serbuan dilakukan imigresen Rabu lalu.

Katanya, ketika kehadiran warga China yang begitu ketara sebelum ini, persekitaran kawasan itu turut terganggu dengan sikap mereka yang tiada kesedaran sivik.

"Kadang kala ada yang bergaduh. Ada juga yang buang sampah sesuka hati di kawasan ini. Orang Cina tempatan pun tak selesa dengan mereka sebab tiba-tiba saja datang dengan ramai.

"Tapi sejak serbuan itu tak nampak lagi kelibat mereka. Cuma semalam sebahagian pintu utama pasar mini ada terbuka sekejap. Mungkin mereka masih ada lagi sebab ramai juga yang berjaya lari ketika serbuan dibuat," katanya.

Rabu lalu, Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar membabitkan warga China selepas menahan 680 warga negara terbabit dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai menjalankan aktiviti scam (penipuan) secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

Hasil serbuan pada jam 11 pagi ke atas premis terbabit yang disewa pada harga RM360,000 sebulan, sebanyak 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi dirampas.

ARTIKEL BERKAITAN: Scam: Imigresen tahan 680 warganegara China