SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Lapan lagi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tampil menafikan dakwaan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya Isnin lalu untuk memberitahu bahawa mereka sudah 'hilang' parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak.
Menerusi kenyataan bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau);
Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Datuk Hasbullah Osman (Gerik); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), mereka berkata, pertemuan tersebut dikhususkan bagi membincangkan isu di kawasan Parlimen masing-masing serta usaha memastikan segala kepentingan dan keperluan rakyat dapat dipenuhi sebaiknya.
"Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut.
"Malah, seperti dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami langsung tidak berniat untuk tinggalkan parti, apatah lagi sertai parti lain," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bagaimanapun mereka sangat mengalu-alukan sekiranya ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ikhlas untuk sertai UMNO dan BN kerana sedar rakyat bukan sahaja mula menolak mereka tetapi juga semakin hilang kepercayaan terhadap visi PH dalam mentadbir negara.
"Kita boleh bersama-sama pulihkan semula negara yang berdepan pelbagai masalah sejak PH memerintah.
"Dan lebih penting, kita kembalikan negara pada landasan yang boleh menjamin masa depan rakyat, anak dan cucu-cicit kita," katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan itu, isu peralihan kuasa langsung tidak dibincangkan semasa pertemuan tersebut.
"Perihal peralihan kuasa ini hal dalaman PH. Ia tiada kena mengena dengan kami sebagai Ahli Parlimen pembangkang," katanya.
Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan oleh Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa pertemuan dengan pemimpin UMNO di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kerana mereka sudah 'hilang' parti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada hendak menyertai parti lain atau sebaliknya.
Bagaimanapun, semalam, tujuh Ahli Parlimen BN yang mengadakan pertemuan dengan Mohamed Azmin menafikan dakwaan kononnya mereka mengadu sudah 'hilang' parti.
Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) berkata, sebaliknya pertemuan itu hanya berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.
Pada pertemuan itu juga Ahli Parlimen BN turut mengajak Mohamed Azmin menyertai UMNO kerana terbukti ketika ini rakyat lebih percayakan UMNO dan BN.
ARTIKEL BERKAITAN Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti