Wanita lari masuk hutan selepas 'berubat' di tokong

Iklan
Ismail Dollah

PASIR GUDANG - Seorang operator kilang dipercayai tersesat dan tidak dapat dikesan selepas bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Teluk Jawa selepas mendapatkan rawatan tradisional di tokong berhampiran petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, berdasarkan keterangan rakan-rakan mangsa, kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga wanita warga Vietnam berusia 30 tahun dipercayai telah dibawa ke tokong berkenaan oleh penyelia dan rakan-rakan setugasnya untuk mendapatkan rawatan tradisional.

"Bagaimanapun, ketika sedang dirawat, mangsa tiba-tiba bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Iklan

"Rakan-rakannya kemudiannya bertindak mencari mangsa sebaik kejadian itu, namun tidak berjaya dan akhirnya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, susulan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dibuat yang mana menyaksikan penglibatan Polis Daerah Seri Alam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Gudang.

Iklan

"Operasi menyaksikan seramai 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan 11 anggota bomba Pasir Gudang telah terlibat dalam kerja-kerja SAR.

"Kerja-kerja SAR juga telah disambung hari ini yang mana kita terpaksa menangguhkannya semalam kerana cuaca gelap dan faktor keselamatan," katanya.