Isu Nafas: Bukan serangan politik

Iklan
Mohamad bersalaman dengan ahli Amanah Pulau Pinang ketika merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 2019 tadi.

BAYAN BARU - Pemberian tender Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bukan satu serangan politik sebaliknya disifatkan sebagai langkah terbaik dalam membantu peladang negara.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, tindakan pemberian tender itu sebaliknya adalah langkah terbaik untuk persatuan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau memandang isu itu dari sudut positif kerana ia dapat menaikkan imej Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam membantu golongan peladang.

"Ini bukan satu serangan politik kerana Nafas adalah satu pertubuhan peladang. Menteri diberi amanah untuk menjalankan tanggungjawabnya yang mana semua keuntungan dari pemberian itu akan berbalik kepada persatuan (Nafas).

Iklan

"Malah saya lihat, ia satu langkah terbaik kerana peladang ini tidak kira kaum, semua ada dan majoritinya bumiputera. Serangan ini menaikkan imej menteri terlibat kerana beliau amat peka dengan nasib peladang yang mana, serangan itu juga memberi kekuatan kepada beliau," katanya pada sidang akhbar tadi.

Terdahulu Mohamad yang juga Menteri Pertahanan merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang ke-4 2019 di sebuah hotel di sini.

Iklan

Sebelum ini, Salahuddin mengesahkan bahawa urusan pemberian tender MOA kepada Nafas masih belum dimuktamadkan.

Salahuddin menegaskan bahawa proses itu telah dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan yang tetapkan dan tidak berlaku skandal seperti didakwa.

Tambahnya, apa yang dilakukan dalam kementerian adalah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menimbang serta memperjuangkan nasib peladang dan petani.

Beliau turut mengaku ada menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon lantikan terus kepada Nafas pada 7 November lalu namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Isu pemberian tender itu dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat beberapa hari lalu.

Ka Siong dilaporkan mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas MOA dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas yang secara rundingan terus.