Pembangunan Kampung Baru semakin positif: Khalid

Iklan
Khalid (tengah) semasa sidang akhbar di sini tadi.

KOTA BHARU - Kerajaan yakin lebih ramai penduduk di Kampung Baru bersetuju dengan cadangan pembangunan baharu dikemukakan terutamanya setelah diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya menyediakan dua tawaran melibatkan harga yang cukup tinggi, tambahan pula ia juga bakal memberikan kebaikan kepada orang Melayu itu sendiri.

Iklan
Iklan

"Pertamanya, kita beri tawaran harga cukup tinggi iaitu melibatkan RM1,000 untuk setiap satu kaki persegi atau bersamaan dengan RM43.5 juta seekar. Itu yang orang tak faham. Mana ada tanah orang Melayu dibeli dengan harga setinggi itu.

"Yang keduanya pula ialah matlamat kita untuk meramaikan lagi orang Melayu di Kampung Baru. Bila kita sudah bangunkan rumah di tapak itu dan dijadikan berpuluh rumah, maknanya jumlah orang Melayu akan bertambah.

Iklan

"Saya menafikan yang pembangunan Kampung Baru ini bakal melenyapkan atau untuk menghalau orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur ini," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pembangunan semula kawasan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Iklan

Terdahulu, Khalid hadir merasmikan Kongres Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan di Crystal Avenue di sini.

Turut hadir, Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Husam Musa dan Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.

Sebelum ini, pelbagai input diutarakan banyak pihak mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru tersebut dan yang terbaharu ada yang mahu kerajaan lakukan pemulihan semula dengan menjadikan Kampung Morten, Melaka sebagai contoh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persetujuan pemilik, Khalid berkata, sehingga kini hampir 40 peratus yang memberi maklum balas dan hampir keseluruhan daripada mereka menyatakan persetujuan yang positif.

"Cuma sekarang ini kita berdepan masalah melibatkan tanah yang mempunyai empat nama, 10 nama. Ada satu lot itu, 20 setuju tapi yang lain tidak setuju. Ini masalahnya.

"Namun saya memang komited dengan pembangunan ini kerana ia menghasilkan beribu jutawan Melayu. Bukan sikit," katanya.