MOSCOW - Gara-gara tidak mempercayai sains, seorang warga emas tidak mahu mendapatkan rawatan meskipun menyedari ada ketumbuhan di dalam perutnya.
Wanita Rusia berusia 80 tahun itu bagaimanapun dikejarkan ke hospital Domodedovo City di luar Moscow baru-baru ini.
Dia terpaksa menjalani pembedahan kecemasan yang berjaya mengeluarkan ketumbuhan seberat 15 kilogram (kg).
Media tempatan melaporkan, wanita itu hidup dengan ketumbuhan selama dua dekad kerana enggan mendapatkan perubatan saintifik.
Disebabkan ketumbuhan itu, wanita itu hanya makan makanan yang dikisar halus, jika tidak dia akan muntah dan menyebabkan perutnya sakit.
Dia kemudian hanya memakan makanan cair seperti sup selepas mengalami sembelit.
Dia akhirnya memutuskan untuk menghubungi hospital apabila berat badannya bertambah meskipun hanya meminum air tanpa makanan lain.
Menurut Ketua hospital, Andrey Osipov, wanita itu mendapatkan rawatan setelah mengalami halangan usus.
"Pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan gergasi pada rongga abdomen wanita itu," katanya.