SEREMBAN - Sekumpulan Aktivis Hak Asasi Manusia di sini membuat bantahan aman di Jalan Seremban - Tampin pagi tadi bagi mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Kabinet segera meletakkan jawatan.
Salah seorang aktivis, K Kannis berkata, sebagai aktivis yang turut membantu gabungan Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14), pihaknya bertanggungjawab mendesak Perdana Menteri segera meletakkan jawatan.
Beliau berkata, ini kerana kepimpinan Dr Mahathir dilihat gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU14 lalu dan tidak mengambil berat beban rakyat berpendapatan rendah di negara ini.
"Kuasa telah diberikan kepada gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun mereka tidak mementingkan penderitaan yang dialami oleh rakyat negara ini yang berpendapatan rendah.
"Kos sara hidup yang langsung tidak berubah dan kelemahan menteri Kabinet untuk membawa angin perubahan hanya mengundang kemarahan rakyat," katanya pada bantahan tersebut.
Katanya, ini terbukti dengan empat kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut.
"Sudah tiba masanya memberikan laluan kepada pemimpin yang lebih berwibawa bagi mengelakkan kebencian dan kemarahan terhadap kerajaan PH semakin memuncak," katanya.
Bantahan aman tersebut bermula jam 10 pagi dan berakhir sejam kemudian yang turut memaparkan luahan kekecewaan melalui kertas manila kad.