SKUAD bola sepak Malaysia bawah 18 tahun (B-18) nyata tidak mengecewakan apabila berjaya menyingkirkan Indonesia dengan penentuan sepakan penalti, 5-3 selepas terikat kedudukan 1-1 sehingga tamat masa sebenar dalam perlawanan separuh akhir Sekolah Sekolah Asia 2019, malam tadi.
Kemenangan itu sedikit sebanyak menimbulkan kemarahan penyokong Garuda di Stadium Batakan, Balikpapan apabila mula membaling botol ke arah padang dan rakaman video itu tular di laman sosial.
Bagaimanapun, seorang pemain Indonesia menyarung jersi nombor 7, Christian Rumbiak menghalang balingan botol penyokong yang disasarkan kepada pemain negara ketika berada di dalam padang.
Video durasi 42 saat itu dimuat naik di Twitter Bola Nusantara mendapat reaksi positif dari rakyat Malaysia.
Kata @zayruliqwan,"Terima kasih pemain no 7. Salam sayang dari Malaysia."
"Sikap pemain Indonesia, Christian Rumbiak itu bagus dan terpuji, tidak terikut-ikut dengan segelintir penonton yang bertindak liar.
"Jujur saya hairan dengan gelagat penyokong bola sepak Indonesia yang akan menjadi 'kurang elok' setiap kali pertembungan dengan Malaysia," kata @wanhasnan
Tambah @meordanialakmal,"Respek pemain itu, dia lagi matang daripada penyokong."
Sementara itu, difahamkan, perlawanan itu dihadiri penyokong dari Indonesia seramai 40,000 orang.
Dalam pada itu, Malaysia berjaya mara ke final bertemu Thailand yang bakal berlangsung petang ini di stadium sama.