KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu pulih sepenuhnya apabila Darul Iman Training Center (DITC) di Teluk Kalong, Kemaman menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup pada jam 5.30 petang tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Left Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, cuaca baik sejak pagi tadi membolehkan semua mangsa di enam PPS iaitu empat di Kemaman dan dua di Marang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.
Menurutnya, tiga PPS iaitu di Balai Raya Kampung Padang Kubu, Dewan Orang Ramai Teladas dan Balai Raya Kampung Batu 9 Ibok di Kemaman ditutup secara berperingkat bermula jam 8 hingga 11 pagi.
"Di Marang, dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Tasek dan Dewan Sivik Wakaf Tapai yang sebelum ini menempatkan seramai 35 mangsa juga ditutup sepenuhnya pada jam 11.30 pagi dan 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Mohammad Jusoh, 58, bersyukur kerana dapat pulang ke rumah setelah terpaksa bermalam di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai sejak Khamis lalu.
Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berkata, dia dan keluarganya sudah biasa tinggal di PPS setiap kali musim tengkujuh.
"Keadaan cuaca tidak menentu, jadi saya dan keluarga memang sentiasa bersiap sedia sekiranya kawasan rumah dinaiki air sekali lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, dua sungai di negeri ini masih berada di paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang mencatatkan bacaan 19.91 meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (20.06 meter).