Kawasan projek pembangunan tanah terbiar Johor dikenal pasti

Iklan
Tosrin - Foto fail

KULAI - Jabatan Pertanian sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah pertanian terbiar yang akan dilaksanakan Projek Pembangunan Tanah Terbiar pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, tanah itu antaranya dalam daerah Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.

Iklan
Iklan

"Mengikut perincian Jabatan Pertanian, di Johor sahaja terdapat tidak kurang daripada 1,000 hektar tanah pertanian terbiar termasuk tanah terbiar di bawah agensi kerajaan.

"Contohnya di daerah Kulai kami akan bangunkan dengan tanaman lada hitam memandangkan ketika ini sudah ada projek perintisnya melibatkan 16 peserta di Felda Inas. Cuma tinggal untuk mengembangkannya sahaja kerana keluasan sekarang hanya kira-kira 6.070 hektar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam Bajet Johor 2020 yang menyebut akan memfokuskan tanah pertanian terbiar untuk pelaksanaan Projek Tanah Terbiar, Projek Kolam Ternakan Terbiar dan Pembangunan Tanaman Rumput Makanan membabitkan sejumlah RM1.4 juta untuk projek berkenaan namun tidak menyatakan secara terperinci kawasan yang terlibat.

Tosrin sebelum itu ditemui pada majlis perasmian Hari Kemahiran dan Keusahawanan Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Johor di Felda Taib Andak di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Pengarah Kemas Negeri Johor, Khairuddin Md Nasir dan Pegawai Daerah Kulai, Mohd Khir Johari Salleh.

Sementara itu, berhubung Hari Kemahiran dan Keusahawanan Peringkat Negeri Johor itu, Khairuddin berkata, ia adalah usaha Kemas untuk mendekati masyarakat kerana ketika ini ramai lagi yang belum maklum sepenuhnya terhadap program-program kemahiran yang ditawarkan pihak berkenaan.

"Kemas ini sinonimnya diketahui dengan Tabika Kemas sahaja tetapi sebenarnya itu di bawah sektor pendidikan awal kanak-kanak dan kami ada terlibat dalam sektor-sektor lain seperti program pendidikan kemahiran, Botani Desa dan Quick Win,” katanya.

Khairuddin berkata, memandangkan pihaknya menyasarkan untuk mengetengahkan produk-produk baharu dari pelbagai program dilaksanakan di setiap daerah tahun depan, kesedaran terhadap perkara sebegini penting bagi menjayakan secara keseluruhan.

"Walaupun kami (Kemas belum membuat pemilihan program yang mana sesuai untuk diketengahkan dengan produk-produk baharu tetapi kami harus ada tekad untuk memastikan setiap program itu ada yang boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya. - Bernama