NAIB Juara Liga M3, Kuching FA mengesahkan slot Liga Premier musim depan selepas menundukkan Sarawak 3-1 pada perlawanan ‘play-off’ bagi merebut tempat beraksi dalam liga kedua berprestij selepas Liga Super, di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam ini.
Perlawanan ‘adik-abang’ yang menarik lebih 5,000 penyokong itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan untuk memburu gol awal sebaik wisel pertama ditiup.
Kuching FA tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi satu hantaran lambung ke dalam kotak penalti, disambut dengan tandukan padu Sahran Abdul Samad yang berjaya menewaskan penjaga gol Sarawak, Andy Nicolas Nipen sekali gus meletakkan pasukannya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, pemain tengah Kuching FA, Rafiezan Razali hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-51 selepas peluang terhidang di depan pintu gol Sarawak, namun rembatannya sekadar melewati palang gol.
Berselang seminit, Sarawak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi satu gerakan yang bermula dari tengah padang berjaya disudahkan oleh penyerang dari Brazil, Hudson Dias yang melakukan sepakan separa voli dari sudut yang sukar menerjah gawang Kuching FA sekali gus menewaskan penjaga golnya, Mohd Iqbal Mohd Suhimi pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu, pengendali Kuching FA, Ideris Untong mengubah taktikal dengan mengeluarkan penyerang, Sufizal Ismail dan membawa masuk seorang lagi pemain penyerang, Mohammad Hafis Saperi bagi menambah cengkaman di barisan hadapan.
Percaturan itu ternyata berhasil apabila Hafis yang membelakangi gawang lawan bijak mengelirukan barisan pertahanan Sarawak dengan hanya menguis ke belakang bola hasil hantaran lintang Mohammad Zainudin Bohri, dengan kakinya ke dalam gol Sarawak untuk Kuching FA mendahului 2-1 pada minit ke-77.
Bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie menambah derita Sarawak apabila mencetak nama sebagai penjaring ketiga Kuching FA pada minit ke-85 selepas rembatan derasnya dari dalam kotak penalti berjaya menewaskan Andy buat kali ketiga sekali gus memastikan tiket ke Liga Premier 2020 menjadi milik pasukannya dengan keputusan akhir memihak Kuching FA, 3-1.
Sarawak terpaksa mengharungi aksi ‘play-off’ itu selepas hanya berjaya menamatkan saingan Liga Premier musim ini di tangga ke-11 manakala Kuching FA pula gagal melayakkan diri ke saingan Liga Premier musim 2020 secara automatik selepas sekadar muncul naib juara Liga M3 di belakang Kelantan United.
Selaku Juara Liga M3, Kelantan United mendapat tiket automatik untuk beraksi dalam Liga Premier musim hadapan. - Bernama