KUALA LUMPUR - Acara perlumbaan berbasikal tertua Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) telah melangkaui jangkaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam setiap aspek dan berjaya mencatatkan banyak peristiwa bersejarah sepanjang penganjurannya.
Dr Mahathir berkata, penganjuran acara berkenaan selama ini telah berjaya memenuhi objektif asal pengenalannya, yakni bagi menampilkan Malaysia dan Langkawi sebagai satu destinasi pelancongan menarik di samping menjadi sebuah hub sukan yang hebat.
Menurutnya, dengan tahap penganjuran yang setanding dengan lain-lain acara perlumbaan berbasikal di negara-negara Eropah, LTdL selama ini berjaya menarik kehadiran ramai pelumba terbaik dan pasukan-pasukan Jelajah Dunia serta Pro Continental.
"Sejak pengenalannya 24 tahun lepas, 232 peringkat LTdL telah dianjurkan di Malaysia. Hasilnya, kini bukan hanya Malaysia dan Langkawi berdiri teguh di atas peta dunia sebagai salah satu destinasi yang ‘perlu’ dikunjungi, malah lain-lain daerah dalam negara yang dilalui oleh para pelumba ini turut mendapat manfaatnya.
"Dunia kini melihat panorama kawasan pinggir bandar dan desa di Malaysia, sama seperti tempat-tempat yang perlu dikunjungi di bandar dan kota,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Petronas LTdL di sini hari ini.
Dr Mahathir seterusnya mengumumkan bahawa LTdL akan kembali ke Sabah dan Sarawak, selepas kali terakhir ia sampai ke negeri-negeri berkenaan adalah pada 1997.
Beliau berkata, selepas sejak sekian lama, perlumbaan di Sabah dan Sarawak akan menambah lagi ‘keindahan’ dalam perlumbaan itu, apabila ia melalui kawasan-kawasan yang memiliki landskap serta penduduk yang unik lagi menarik, di samping membangkitkan suasana ‘pengembaraan’ buat para pelumba.
Dr Mahathir berkata, selain menyaksikan juara dunia akan datang muncul dari LTdL, acara ikonik itu telah menyumbang kepada kelahiran juara bertaraf dunia seperti Anuar Manan, yang menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi satu peringkat, dan memperoleh jersi kuning (Raja Pecut) pada tahun 2010.
"Tahun ini kita juga menyaksikan kehebatan yang sama diulangi oleh Mohd Harrif Salleh, pelumba dari pasukan Terengganu Incorporated Cycling (TSG), pasukan Continental ranking tertinggi Asia.
"Saya percaya kejayaan-kejayaan ini telah menjadi sebagai inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia. Acara berbasikal telah menjadi lebih popular kini di Malaysia. Dalam konteks ini saya ingin menggesa pihak penganjur agar merebut peluang daripada minat ramai terhadap LTdL ini, dengan mengambil inisiatif yang berkaitan bagi membangunkan sukan berbasikal sebagai sukan pilihan di kalangan belia,” katanya.
Dr Mahathir juga memuji pihak penganjur kerana memperkenalkan dua perlumbaan tambahan sebagai sebahagian daripada sambutan jubli perak dan usaha pembangunan pertandingan itu, yakni Criterium International dan Malaysia Classic - 2 new 1-Day races dalam kalendar UCI (Union Cycliste Internationale), yang akan membuat penampilan sulungnya tahun ini.
Perlumbaan Criterium International akan disasar bagi kategori pelumba Bawah-23 (U23) dengan lesen perlumbaan elit UCI, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai tempat untuk mengenali juara acara berbasikal akan datang, manakala Malaysia Classic yang dianggap sebagai"Perlumbaan Juara-juara ” akan menampilkan saingan juara-juara kebangsaan dari seluruh dunia.
"Sudah pasti ini akan menjadi satu-satunya pertandingan yang seumpamanya dipertandingkan buat pertama kali, belum pernah dianjurkan dimana-mana tempat sebelum ini. Saya percaya kedua-dua acara ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu kuasa besar dalam arena lumba berbasikal di Asia Tenggara dan memberikan publisiti antarabangsa yang lebih luas kepada negara, melangkaui LTdL,” katanya.
Dr Mahathir turut menyambut baik kehadiran kembali ‘Title Sponsor’, yakni Petronas Bhd, yang bukannya nama asing dalam arena sukan Malaysia.
"Terima kasih seikhlasnya kepada semua penganjur terhadap kemurahan hati mereka dan kita berharap kerjasama yang serupa akan diberikan kepada LTdL di masa akan datang,” katanya.
Perlumbaan acara berbasikal terbesar Asia yang dinaik taraf kepada Professional Series (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Feb, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Penang serta Kedah. - Bernama