Rombakan Kabinet jejas ekonomi negara?

Iklan

SHAH ALAM - Isu rombakan Kabinet dijangka menjadi faktor yang boleh menjejaskan sentimen pelabur luar, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara, kata pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai.

Menurutnya, ketidaktentuan politik yang terlalu kerap ditimbulkan akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur asing.

Iklan
Iklan

"Sejak beberapa minggu ini, pasaran saham tidak menentu apabila pasaran serantau meningkat berbanding pasaran tempatan yang semakin merudum.

"Ini mungkin akan memberikan tekanan kepada pasaran saham serta mata wang negara. Namun ia hanya bersifat sementara. Malaysia masih menjadi destinasi pilihan pelabur untuk melabur,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Bagaimanapun, kata beliau, rombakan Kabinet perlu dilakukan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dalam Kabinet: Belum buat keputusan, kata PM

Iklan

[VIDEO] 'Terserah PM, itu hak dia jika nak rombak Kabinet'

"Beberapa kementerian yang tidak berdaya saing serta efisien perlu diubah demi untuk memantapkan lagi pentadbiran kerajaan selain mengambil kira prestasi menteri selepas lebih setahun berada dalam Kabinet,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, rombakan Kabinet menunjukkan politik di Malaysia adalah matang dan stabil.

"Rombakan Kabinet adalah amalan biasa oleh mana-mana kerajaan. Tidak sepatutnya ia memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur asing, malahan jika rombakan tersebut dilakukan untuk memastikan pentadbiran negara bertambah lancar.

"Ia sedikit sebanyak akan memberi isyarat positif kepada pelabur asing bahawa politik di Malaysia adalah stabil dan matang,” katanya.

Katanya, banyak lagi faktor yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Banyak lagi faktor luaran dan dalaman yang lebih besar impaknya berbanding pertukaran beberapa menteri.

"Perang tarif AS-China, kemeruduman ekonomi global dan ketidaktentuan harga komoditi selain nilai eksport dan import yang menguncup sebanyak 1.1 peratus serta keberhutangan kerajaan persekutuan dan kos sara hidup yang tinggi boleh memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.